IPOH – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak boleh mewajibkan mana-mana pengusaha premis berasaskan makanan serta minuman untuk memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ini kerana tindakan itu dilihat cuba untuk melangkaui bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung perkara berkenaan.
“Saya menasihatkan semua PBT untuk menghormati bidang kuasa JAKIM. Malah Jemaah Menteri telah buat keputusan bahawa kita menggalakkan pengusaha memohon sijil halal, tidak memaksa. Kita tidak boleh paksa.
“Mana-mana pihak tidak boleh membuat sebarang keputusan yang bercanggah dengan apa yang telah diputuskan Jemaah Menteri selaku badan Eksekutif tertinggi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penutup Sentuhan Kejayaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Meru Raya, dekat sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, perkara itu sebaliknya akan menimbulkan kesukaran kepada pengusaha perniagaan kecil kerana terpaksa mengeluarkan kos tambahan hanya untuk memenuhi syarat tambahan untuk memperbaharui lesen perniagaan.
Kata Kor Ming, sebagai contoh warung menjual nasi lemak dan pisang goreng yang terpaksa mengeluarkan kos tambahan hanya bagi memenuhi syarat memperbaharui lesen perniagaannya.
“Kos sijil halal pun beribu-ribu, selepas itu untuk perbaharui sijil halal ia juga tertakluk kepada audit tahunan dan proses ini juga dikenakan bayaran.
“Lagipun negara kita berbilang kaum, perlu juga ambil kira keperluan pengusaha bukan Melayu yang menjual makanan tidak halal.
“Mereka yang menjual makanan berasaskan daging babi, bagaimana hendak memohon sijil halal? Sudah tentu produk mereka tidak halal. Adakah kita mahu tutup perniagaan mereka? Ini sudah pasti suatu kezaliman,” tambah beliau.
Pada Khamis media melaporkan, Kerajaan Kelantan mensyaratkan pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan serta minuman memiliki SPHM sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.
Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, sebagai permulaan syarat wajib itu dipelopori oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI). – MG Perak
Artikel Berkaitan: