IPOH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak menahan 38 warga asing hasil serbuan berasingan di 22 premis di sekitar Ipoh, Batu Gajah dan Seri Iskandar, pada Selasa.
Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, ia hasil pemeriksaan yang dilakukan 12 pegawai itu ke atas 72 individu membabitkan kedai perabot, restoran, rumah kediaman, dan rumah ibadat.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan lapan perempuan, serta dua kanak-kanak yang kesemuanya berusia antara setahun sehingga 52 tahun.
“Mereka terdiri daripada tujuh lelaki warga India, empat lelaki warga Myanmar, lapan lelaki (Bangladesh), enam lelaki dan seorang perempuan (Pakistan), tiga lelaki, tujuh perempuan, dan masing-masing satu kanak-kanak lelaki dan perempuan (Indonesia).
“Kesemua 38 orang warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan lanjut mengikut proses undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Meor Hezbullah berkata, mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.
Kata beliau, turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal atau berada dalam Malaysia melebihi tempoh sah pas yang dikeluarkan serta kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang telah dikeluarkan.
Sementara itu Meor Hezbullah dalam kenyataan berasingan memaklumkan, Imigresen Perak turut menahan lapan warga asing hasil pemeriksaan di enam premis di Daerah Larut Matang dan Kerian, tengah malam tadi.
Ujar beliau, pemeriksaan oleh 17 pegawai imigresen itu melibatkan sebuah kedai makan, empat rumah penginapan serta sebuah kilang.
“Warga asing yang ditahan adalah terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan, serta seorang kanak-kanak yang berusia lingkungan 12 hingga 51 tahun.
“Kesemua mereka yang terdiri daripada warga Thailand dan Indonesia itu ditahan ke Depot Imigresen Ipoh untuk siasatan lanjut,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: