NEGERI Perak pernah merekodkan jumlah pelancong domestik ketiga tertinggi dalam negara selama sembilan tahun berturut-turut bermula 2012 hingga 2020.
Kejayaan ini membuktikan Perak mempunyai pelbagai lokasi pelancongan yang menarik bukan sahaja dari segi tinggalan sejarah, ekopelancongan malah juga flora dan fauna bersama produk geologi.
Maka tidak hairanlah sekiranya Perak menjadi destinasi mencari ketenangan dan kesejahteraan bukan sahaja dalam kalangan pelancong tempatan malah antarabangsa.
Umum mengetahui 2024 merupakan Tahun Melawat Perak (TMP) selepas kali terakhir diadakan pada 2017 dan sepanjang tahun lalu sebanyak 110 aktiviti dan program berjaya dijalankan dalam menghangatkan lagi TMP 2024.
Kesemua 110 acara berkenaan diadakan di semua daerah merangkumi aktiviti peringkat daerah, negeri dan antarabangsa yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan.
Antara acara yang diadakan itu merangkumi pelancongan berasaskan warisan, makanan, alam semulajadi, percutian keluarga, kraftangan dan pelbagai segmen pelancongan yang lain.
Namun ditengah-tengah kehangatan TMP 2024 ada pihak yang menyuarakan bahawa penganjurannya gagal selepas kemeriahannya tidak terasa dan hambar berbanding negeri Melaka.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan disangkal Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Sze Yee berkata, kerajaan negeri melalui Tourism Perak telah menyusun ratusan acara pada kalender pelancongan negeri sepanjang 2024 yang mana ia turut ditambah dari semasa ke semasa.
Jelas beliau, selain acara bersifat domestik, pelbagai program bertaraf antarabangsa bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2024, antaranya Geopark 5 Run, Lenggong Outdoor Festival, Ipoh International Art Festival, Ipoh Fashion Show Week dan sebagainya.
Kenyataan Sze Yee jelas membuktikan TMP 2024 bukanlah hambar seperti yang didakwa segelintir pihak sebaliknya berkemungkinan mereka gagal melihat penganjuran program di semua 12 daerah dalam negeri ini.
Berbalik kepada persoalan berjayakah TMP 2024 selepas ia melabuhkan tirai 31 Disember lalu? Sudah semestinya berjaya memandangkan sasaran yang diletakkan sebelum ini berjaya dilepasi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis pelancaran TMP 2024 dan Sambutan Ambang Tahun Baharu Peringkat Negeri Perak 2024 pada 1 Januari tahun lalu mengumumkan sasaran lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa bersama pulangan berjumlah RM10 bilion.
Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai, sekiranya seluruh rakyat Perak berperanan sebagai ‘duta’ pelancongan dengan sama-sama mempromosi TMP 2024 dengan memainkan peranan menceritakan kehebatan dan keindahan setiap penjuru bumi negeri itu untuk ditawarkan kepada pelancong.
Hasilnya, Perak berjaya melepasi sasaran kehadiran 8.4 juta pelancong harian lebih awal iaitu pada November iaitu sebulan sebelum TMP 2024 melabuhkan tirainya.
Perkara itu diumumkan sendiri Saarani semasa malam Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 yang dihadiri puluhan ribu rakyat negeri Perak.
Daripada jumlah berkenaan seramai 627,292 pelancong antarabangsa direkodkan telah melawat ke Negeri Perak dalam tempoh sama.
Data yang diperoleh daripada Tourism Malaysia itu menunjukkan peningkatan 135 peratus kehadiran pelancong berbanding kempen Tahun Melawat Perak 2017.
Kejayaan ini sudah cukup untuk menutup mulut serta menyangkal dakwaan segelintir pihak mengkritik penganjuran TMP 2024.
Kerajaan Negeri Perak juga memberi jaminan walaupun tirai kempen TMP 2024 telah berlabuh, namun usaha mempromosikan negeri akan diteruskan dan dipergiatkan sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
Perhatian kepada pembangunan modal insan dalam sektor pelancongan melalui kerjasama dengan institusi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), pelbagai kursus dan latihan telah dijalankan untuk melahirkan lebih ramai pemandu pelancong, operator bot, serta pengusaha homestay dan resort. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: 8.4 Juta Pelancong Kunjungi Perak, Lepasi Sasaran TMP 2024