IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, merampas 620 produk steroid anabolik, produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM2.06 juta dalam serbuan ke di sekitar Ipoh, pada Selasa.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Mohd Zawawi Abdullah berkata, serbuan menerusi Ops Pharma 2.0 dan Ops Gudang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Perak itu dilakukan di enam premis termasuk gudang.
Katanya, dalam operasi itu, pemilik premis dan pengarah syarikat berkaitan antara enam individu berusia antara 30 hingga 50 telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati produk steroid anabolik yang dirampas telah disalah guna untuk membina otot badan selain ia dijual secara meluas atas talian sejak empat tahun lalu.
“Kita telah membuka empat kertas mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dan Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Kita percaya kesemua produk yang dijual secara atas talian itu diperoleh daripada luar negara dan kita sedang mengenal pasti lokasi serta ejen yang membawanya masuk ke negara ini secara tidak sah.
“Dan untuk itu, dalam operasi sama kita telah merampas satu telefon bimbit untuk kita buat analisa bagi mengesahkan sama ada wujud rangkaian atau sindiket yang terbabit dalam kes ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Perkhidmatan Farmasi JKN Perak di Hospital Bahagia Ulu Kinta, dekat sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perkhidmatan Farmasi JKN Perak, Norhida Mohd Tajuddin.
Mohd Zawawi memberitahu, hasil intipan dan pemantauan yang dijalankan sejak Jun 2024, pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada mangsa terlibat.
Jelas beliau, selain produk steroid anabolik, pihaknya turut merampas ubat yang dipercayai disalah guna untuk meningkatkan keberkesanan steroid.
“Ada kemungkinan besar produk-produk ini adalah palsu, tiruan atau telah dicampur dengan bahan yang tidak sewajarnya.
“Misalnya makanan tambahan kesihatan dan ubat tradisional yang dirampas dalam operasi ini, kita percaya ia mengandungi racun terlarang seperti merkuri,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Mohd Zawawi berkata, steroid termasuk dalam kategori racun terkawal dan ia perlu diambil atas nasihat doktor serta ahli farmasi, namun kerap disalah guna untuk membina otot.
Tambah beliau, selain merosakkan buah pinggang, penggunaan steroid tanpa pengawasan boleh mengakibatkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan hormon dalam badan.
“Orang awam boleh menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik pada laman sesawang https://www.npra.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: