Perak catat surplus RM45.62 juta, antara negeri urus kewangan terbaik

IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengekalkan momentum pertumbuhan positif apabila sekali lagi menutup Akaun Hasil Disatukan bagi tahun lalu dengan lebihan pendapatan atau surplus berjumlah RM45.62 juta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencapaian bagi tahun ketiga berturut-turut itu mencerminkan keberkesanan pengurusan kewangan negeri serta momentum kebangkitan ekonomi pasca pandemik.

“Sukacita saya memaklumkan khabar gembira bahawa Perak sekali lagi berjaya menutup akaun dengan surplus Akaun Hasil Disatukan bagi tahun 2024.

“Berdasarkan laporan yang belum diaudit, nilai surplus yang direkodkan ialah RM45.62 juta.

“Ini merupakan catatan surplus untuk tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2022. Ia mencerminkan kemampuan kita meneruskan momentum kebangkitan selepas bergelut akibat hambatan pandemik COVID-19,” katanya.

Perak catat surplus RM45.62 juta antara negeri urus kewangan terbaik kerajaan saarani negeri
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2025 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 JANUARI 2025.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Executive Talk Dan Perutusan Tahun Baru 2025 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, barisan Exco Kerajaan Negeri, wakil rakyat serta lebih 700 penjawat awam negeri dan Persekutuan.

Perak catat surplus negeri RM45.62 juta antara negeri urus kewangan terbaik kerajaan saarani
Suasana sekitar Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2025 di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 JANUARI 2025.

Tambah Saarani, Perak turut merekodkan prestasi memberangsangkan sepanjang tahun lalu apabila kutipan hasil negeri dicatatkan adalah sebanyak RM1.332 bilion.

Kata beliau, ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM118 juta berbanding tahun sebelumnya selain angka berkenaan merupakan yang tertinggi dalam sejarah.

“Berkat pengurusan kewangan yang berhemah, Perak menerima pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri 2023, sekali gus menjadikan Perak antara lima negeri terbaik dalam tadbir urus kewangan,” jelas beliau. – MG Perak.

 

Artikel Berkaitan:

Perak sedia jadi pemudah cara Projek Ipoh Sentral

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI