Murid dipukul guru: JPN lengkapkan laporan penuh siasatan

PARIT – Kerajaan Negeri Perak masih menunggu laporan penuh siasatan kejadian murid yang mengalami kecederaan selepas didakwa dipukul seorang guru lelaki di sekolahnya di Bagan Serai pada Disember lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, siasatan berhubung kejadian itu juga telah selesai dan ramai saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kini dalam proses untuk melengkapkan laporan tersebut sebelum tindakan sewajarnya dilakukan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita melahirkan rasa simpati atas kejadian yang berlaku dan kita sedang mendapatkan laporan lengkap daripada JPN dan pihak yang berkenaan berkaitan kejadian itu.

“Ini disebabkan ia melibatkan kewibawaan seorang pelajar yang punya potensi dan bakat yang besar dalam bidang renang.

“Kita memang bercadang untuk membuat ziarah cakna kepada pelajar berkenaan dan InsyaAllah dalam masa terdekat saya sendiri akan buat kunjungan untuk bertanya khabar.

“Mungkin kita akan hulurkan sedikit sumbangan. kepada pelajar berkenaan sebagai tanda simpati, sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Eko Pelancongan Sejati Madani ATV Ride di Kampung Bukit Chupak di sini petang tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairudin memaklumkan segala tindakan yang diambil akan berlandaskan perundangan, peraturan-peraturan dan pekeliling yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau yang juga seorang bekas pendidik turut menasihatkan supaya guru-guru perlu berfikiran melakukan pertimbangan secara rasional khususnya dalam proses mendidik, membimbing dan mengasuh anak-anak murid.

“Bertindaklah secara waras, secara rasional sebab anak-anak yang berada di sekolah itu adalah aset yang cukup berguna dan merupakan generasi yang akan memberi sesuatu yang lebih berfaedah kepada negeri, negara, masyarakat di masa-masa akan datang,“ ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mendakwa anak lelakinya yang berusia 12 tahun cedera akibat dipukul guru sendiri sehingga mengalami kecederaan dalam telinga (koklea).

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Juna Yusoff dalam satu kenyataan memaklumkan, kes sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis sahkan terima laporan murid dipukul guru

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI