IPOH – Sukarelawan Muslim Perak (SEMARAK) menyeru jawatankuasa masjid dan surau memulakan usaha mengutip tandatangan bantahan penjualan arak di kawasan masing-masing.
Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed berkata, SEMARAK juga bersedia menjadi koordinator dalam melaksanakan kempen berkenaan.
Beliau berkata, arak merupakan ibu segala kejahatan serta punca kerosakan akal manusia hingga boleh menyebabkan pergaduhan, kehancuran keluarga malah kemalangan yang meragut nyawa.
“Beberapa daerah di Perak telah memulakan langkah melarang penjualan arak di kawasan majoriti muslim susulan bantahan penduduk setempat.
“Datuk Bandar Ipoh juga telah menyatakan sokongan terhadap perkara ini dan respon Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) juga dilihat positif walaupun Menteri KPKT berpandangan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah PU Syed, sebagai salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), berteraskan dakwah dan kebajikan, SEMARAK menyokong usaha murni tersebut.
“Sebagai permulaan dan penggerak usaha besar ini, kami menyeru jawatankuasa masjid dan surau memulakan usaha mengutip tandatangan bantahan penjualan arak di kawasan masing masing.
“Masjid dan Surau yang mendirikan jumast boleh mengambil kesempatan kehadiran ahli kariah pada hari Jumaat untuk melaksanakan usaha ini,” katanya.
Terdahulu, Saarani dalam satu kenyataan memaklumkan Kerajaan Negeri Perak memberi ‘lampu hijau’ kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk meneruskan kajian cadangan meluaskan larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang sudah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah mendapatkan maklum balas MBI mengenai syor yang sedang dalam peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian tersebut mengikut bidang kuasa MBI yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain pematuhan peraturan minuman beralkohol/ peraturan-peraturan makanan 1985 dan Akta Makanan 1983,” katanya -MGPerak.
Artikel Berkaitan:
Perak beri ‘lampu hijau‘ MBI kaji syor meluaskan larangan jual arak