KUALA LUMPUR – Menteri-menteri kerajaan perpaduan yang bukan Islam diingatkan agar lebih berhati-hati ketika memberi ulasan berkaitan dengan Islam, kata Majlis Ulama UMNO.
Majlis itu menjelaskan, langkah itu perlu agar tidak memberi persepsi negatif sehingga ada pihak boleh ‘menunggang’ dan memprovokasinya sebagai ancaman terhadap Islam.
“Isu terakhir adalah melibatkan Ham & Cheese Sandwich yang menggunakan logo Halal Jakim palsu dan penjualan arak di kawasan majoriti orang Islam di Ipoh, Perak.
“Kerajaan Perpaduan yang UMNO Barisan Nasional menjadi antara tonggaknya telah berjaya memperkasakan lagi Islam sehingga mekar dan sebagai kesinambungan usaha kerajaan-kerajaan terdahulu khususnya UMNO dan Barisan Nasional dalam membangunkan Islam dalam negara ini sejak merdeka,” kata majlis berkenaan, hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada beberapa komen yang diberikan kepimpinan kerajaan perpaduan antaranya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang memberi penerangan berkenaan maksud ‘ham’ dan cheese yang menurutnya ‘ham’ merupakan proses untuk menghasilkan makanan seperti Turkey ham dan chicken ham yang bagus untuk dimakan.
Kor Ming berkata, ia juga sama dengan air root beer dibuat daripada akar sassafras yang bukan alkohol dan juga baik untuk diminum.
Jelas majlis berkenaan, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk merupakan model terbaik bagi mewujudkan perpaduan kaum seluruh rakyat Malaysia termasuk Sabah Serawak.
Justeru, semua parti-parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan perlulah mengekalkan keharmonian dan sensitiviti semua.
“Majlis Ulama UMNO akan terus berperanan menyuburkan Islam dalam negara dan mempertahankankan asas-asas Perlembagaan Persekutuan melibatkan Islam, Bahasa Melayu, Raja-raja Melayu dan Hak Istimewa Orang Melayu sebagaimana prinsip yang dijunjung dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Isu ‘ham’ dan cheese mendapat perhatian ramai apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Akmal Saleh menempelak Kor Ming susulan kenyataan Naib Pengerusi DAP yang menyifatkan pihak menjadikan isu ‘ham’ sebagai bodoh.
Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menjelaskan maksud ‘ham’ dinyatakan Kor Ming, dengan menyertakan terjemahan daripada kamus Oxford Learner’s. – MalaysiaGazette