TELUK INTAN – Seorang imam di sebuah masjid di sini, membuat laporan polis berhubung tindakan seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa melemparkan fitnah terhadapnya.
Mohamad Lotfi Samsudin membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak malam tadi susulan hantaran Facebook bekas ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang didakwa memfitnahnya.
Beliau mendakwa, Hasnul Zulkarnain telah memfitnahnya melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta tidak menghormati arahan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk).
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas boleh menjatuhkan reputasi saya sebagai seorang imam di Masjid Sultan Idris II Teluk Intan.
“Ini kerana saya sentiasa komited melaksanakan tugas saya sebaik mungkin mengikut arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh JAIPk,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Lotfi telah menyerahkan kepada pihak peguam untuk meneliti tuduhan tersebut bagi membolehkan tindakan undang-undang dijalankan ke atas fitnah yang dilemparkan terhadap beliau.
“Tindakan melemparkan fitnah itu adalah sangat tidak wajar terutama bagi orang yang sangat marah apabila teks khutbah berkaitan fitnah tidak dibaca oleh khatib.
“Saya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu berniat jahat yang menyebarkan video fitnah tersebut di mana-mana platform media sosial,” ujarnya.
Semalam, Hasnul Zulkarnain membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berhubung tindakan seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan yang didakwa tidak membaca teks khutbah disediakan JAIPk pada Jumaat lalu.
Katanya, laporan polis itu dibuat selepas imam terbabit mengakui membaca teks khutbah yang disediakan pada tahun 2023, bukan teks khutbah terkini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak serah JAIPk siasat khatib baca teks khutbah negeri lain