Identiti mayat lelaki kembung, membusuk dalam tangki simpanan air dikenal pasti

LUMUT – Identiti mayat lelaki yang ditemukan dalam keadaan kembung dan membusuk di dalam tangki simpanan air di sebuah pelantar di Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor dekat sini petang tadi telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner, Hasbullah Abd Rahman berkata, mangsa terbabit berusia 51 tahun dan tidak bekerja.

Menurutnya, waris mangsa juga telah berjaya dikesan oleh pihak polis.

“Mayat mangsa telah ditemui oleh pekerja pelantar yang mahu membuka paip utama berdekatan tempat kejadian sebelum terhidu bau busuk dari dalam tangki simpanan air.

“Keadaan fizikal mayat juga telah mulai kembung dan membusuk,“ katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu, Hasbullah memaklumkan pihaknya telah menerima laporan polis daripada orang awam berhubung penemuan mangsa sekitar jam 3.15 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Pangkor telah ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat tersebut bagi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Siasatan awal di lokasi menemui seorang lelaki dalam keadaan telungkup dan tidak sedarkan diri di dalam tangki simpanan air.

“Pemeriksaan oleh pembantu pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pangkor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat,” jelasnya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini boleh salurkan ke Balai Polis Pangkor atau hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 atau hotline Whatsapp 014-682 8005. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mayat lelaki ditemui dalam tangki simpanan air

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI