IPOH – Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki berusia 51 tahun yang ditemui mati di dalam tangki simpanan air di sebuah pelantar di Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor petang semalam, tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner, Hasbullah Abd Rahman berkata, tiada kesan kecederaan ketara pada tubuh badan mayat yang ditemui dalam keadaan telungkup itu.
“Punca kematian adalah disebabkan mayat mereput dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jawabnya ringkas ketika dihubungi.
Semalam Malaysia Gazette (MG) Perak melaporkan seorang lelaki ditemui dalam keadaan telungkup dan tidak sedarkan diri di dalam tangki simpanan air di sebuah pelantar di Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor dekat sini, petang tadi.
Hasbullah berkata, pihaknya telah menerima laporan polis daripada orang awam berhubung penemuan mangsa sekitar jam 3.15 petang.
Katanya, mangsa terbabit berusia 51 tahun dan tidak bekerja dan waris mangsa juga telah berjaya dikesan oleh pihak polis.
“Mayat mangsa telah ditemui oleh pekerja pelantar yang mahu membuka paip utama berdekatan tempat kejadian sebelum terhidu bau busuk dari dalam tangki simpanan air.
“Keadaan fizikal mayat juga telah mulai kembung dan membusuk,“ katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Identiti mayat lelaki kembung, membusuk dalam tangki simpanan air dikenal pasti