IPOH – Kerajaan diminta untuk melibatkan perbincangan dengan Kementerian Perpaduan Negara berhubung mewujudkan garis panduan bagi orang Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, walaupun garis panduan itu bukan suatu undang-undang khusus, namun ia masih memerlukan pandangan daripada semua pihak.
Katanya, penglibatan pelbagai pihak dalam perkara itu dapat memberi sudut pandang dan penilaian lebih luas terutama dalam hal menjaga keharmonian serta perpaduan antara kaum di negara ini.
“Saya percaya perkara yang hendak diwujudkan ini bukan suatu ketetapan undang-undang digubal di Parlimen, sebaliknya ia hanyalah garis panduan.
“Ada sesetengah pihak terutama pemimpin datang kerana dijemput menghadiri program bukannya terlibat dengan aktiviti keagamaan. Perkara ini juga telah lama dipraktikkan dalam negara berbilang bangsa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Sambutan Hari Thaipusam Peringkat Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Media baru-baru ini dilaporkan kerajaan sedang mengkaji satu garis panduan baharu penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan serta penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, garis panduan itu akan diwujudkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Garis panduan itu juga antara lain sebagai panduan orang Islam untuk menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.
Dalam perkembangan lain Sivanesan memberitahu, tiada sebarang aduan diterima kerajaan negeri berhubung pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu yang berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.
Menurut beliau, perkara itu disifatkan sebagai petanda positif dalam kalangan majikan dan pekerja berkenaan penetapan gaji minimum RM1,700.
“Setakat ini kita tak terima sebarang aduan. Dan ini bermakna semua orang puas hati.
“Walau bagaimanapun, kita sentiasa memantau perkara ini. Sekiranya ada majikan tidak membayar, pekerja boleh pergi ke Jabatan Tenaga Kerja dan buat aduan,” ujar beliau.
Media sebelum kini melaporkan , seramai 4.37 juta pekerja menerima gaji minimum RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu tersebut.
Pelaksanaan itu terpakai kepada majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
DAPSY tak setuju garis panduan Muslim hadir majlis bukan Islam