TAIPING – Padang Esplanade, dekat sini, yang mencecah usia 135 tahun kini diberi nafas baharu apabila dilengkapi dengan lampu limpah yang akan memberi manfaat kepada aktiviti riadah malam penduduk setempat.
Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, pemasangan empat lampu limpah kelas ketiga di padang berkenaan hasil Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Julai lalu yang melibatkan kos berjumlah RM490,000.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan memberitahu, kerja pemasangan fasiliti yang memakan masa kira-kira tiga bulan itu susulan aduan penduduk setempat yang mahukan pencahayaan di Padang Esplanade ditambah baik.
![](https://mgperak.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF10022025_LAMPU-ESPLANADE_09.jpg)
“Sebelum ini pencahayaan di Padang Esplanade agak terhad dan secara teknikal, sebarang aktiviti atau program pada waktu malam sukar untuk dilaksanakan.
“Tetapi kini, Bandar Warisan Taiping melangkah ke hadapan dan kita berjaya buktikan bahawa Kerajaan Madani berjaya menaiktarafkan kemudahan yang diperlukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Lampu Limpah Padang Esplanade, malam tadi.
Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Teh Kok Lim serta Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir.
Pada majlis, Kah Woh turut menyaksikan perlawanan bola sepak persahabatan antara Pasukan Bola Sepak MPT dengan Skuad Perak FC Bawah 23.
Sentuhan Kasih KPKT 2.0 pada Julai lalu telah membelanjakan RM17.48 juta bagi projek pembangunan infrastruktur di Taiping yang antara lain melibatkan naik taraf Pasar Taiping sebagai Pasar Warisan serta pembinaan Taman Awam Kamunting.
Dalam pada itu Kah Woh berkata, pihaknya bersedia untuk berbincang dengan MPT bagi melihat kepada sebarang keperluan lain bagi pembangunan dan naik taraf Padang Esplanade bagi fasa kedua.
“Apa yang penting adalah kita mahukan mereka yang suka akan aktiviti bersukan pada waktu malam seperti bola sepak, dapat memanfaatkan sebaik mungkin fasiliti di padang ini.
“Selain daripada lokasi untuk beriadah, Padang Esplanade juga mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila sudah mencecah usia lebih daripada 100 tahun,” katanya.
Padang Esplanade dibangunkan Komandan Polis dan Tentera British di Tanah Melayu, Kolonel Robert S.F. Walker, sekitar era penjajahan empayar asing itu pada tahun 1890.
Kawasan sekitar padang itu telah dibangukan berek, rumah kelab dan gereja, selain ia sering digunakan bagi pelbagai sukan termasuk kriket dan ragbi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berkenan rasmi bangunan Mahkamah Syariah Taiping