BATU GAJAH – Seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai terkunci di dalam tandas sebuah rumah di Taman Yuk Kwan, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 9.33 pagi daripada suami mangsa yang meminta bantuan untuk mengeluarkan mangsa.
Menurutnya, sepasukan empat orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kita dimaklumkan mangsa adalah seorang wanita berusia 44 tahun yang dipercayai telah terkunci di dalam tandas di rumah tersebut.
“Anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan bolt cutter bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut fan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.46 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warga emas ditemukan meninggal dunia dalam bilik air terkunci