STARTLE 2025 platform terbaik pupuk inovasi sains, teknologi Perak

PERAK terus memperlihatkan komitmennya dalam memajukan sektor sains, teknologi, agrikultur dan landskap, dengan pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing negeri, negara dan antarabangsa.

Baru-baru ini, kerajaan negeri telah melancarkan beberapa projek inovatif yang menggabungkan teknologi canggih dalam pengurusan sumber alam dan pertanian, bagi memastikan kelestarian ekonomi serta kesejahteraan masyarakat setempat.

Komitmen Perak dalam memperkukuh ekosistem inovasi tidak terhad kepada bidang pertanian semata-mata.

STARTLE 2025 platform terbaik pupuk inovasi sains, teknologi Perak
Pembantu makmal Terra Mineral Lab (TML) melakukan kerja-kerja makmal pada Majlis Perasmian TML dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral di Perkarangan Pejabat TML Gopeng, Perak pada tahun lalu.

Pembukaan makmal analisis mineral pertama negara, Terra Mineral Lab (TML), serta Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral di Gopeng adalah antara langkah signifikan kerajaan negeri dalam memacu kemajuan berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian pula adalah antara projek industri terbesar di negara ini yang berteknologi tinggi menggunakan tenaga hijau yang pertama di rantau Asia Tenggara.

Justeru, bagi menyahut saranan kerajaan negeri, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menganjurkan program Sains, Teknologi, Agrikultur dan Landskap Ekspo (STARTLE 2025) yang menjadi platform inovasi berimpak tinggi bagi mencetuskan penyelesaian kepada cabaran dalam sektor pertanian, teknologi, dan landskap.

Acara tahunan anjuran Jabatan Teknologi Maklumat, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, USAS itu mula diperkenalkan pada 2019 sebagai inisiatif untuk memupuk budaya inovasi dalam kalangan pelajar.

Program ini telah berkembang menjadi platform yang berprestij untuk pameran projek saintifik, teknologi, agrikultur, dan landskap yang berorientasikan produk penyelesaian masalah.

Tema ‘Innovate to Elevate’ dipilih pada tahun ini bagi memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk menghasilkan projek yang relevan dan berdaya saing.

STARTLE 2025 platform terbaik pupuk inovasi sains, teknologi Perak
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Induk Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) di Dewan Dato Zainal Abidin Zin, Bagan Serai, tahun lalu.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

 STARTLE platform terbaik dalam membentuk pemimpin teknologi masa depan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penganjuran program tersebut menjadi platform dinamik menghimpunkan ilmuwan, mahasiswa, pemain industri serta pemikir-pemikir masa hadapan untuk berkongsi ilmu.

Menurutnya, ia turut memberi manfaat kepada golongan akademik dan menjadi pemangkin kepada inovasi yang lebih besar serta menjadikan Perak sebagai pusat kecemerlangan dalam teknologi hijau, pertanian pintar, dan penyelidikan berimpak tinggi.

Ujar beliau, program tersebut bukan sahaja mencerminkan daya saing, tetapi juga membentuk pemimpin teknologi masa hadapan yang mampu mengadaptasi perubahan global.

STARTLE 2025 platform terbaik pupuk inovasi sains, teknologi Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan anugerah kepada pelajar pada Majlis Penutup Program STARTLE 2025 (Sains, Teknologi, Agrikultur & Landskap Ekspo) anjuran Jabatan Teknologi Maklumat, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Mydin Mall Meru, Ipoh.

“Saya difahamkan bahawa STARTLE telah dianjurkan secara konsisten membuktikan komitmen USAS dalam menjadikannya sebagai platform inovasi berimpak tinggi yang terus mencetuskan penyelesaian kepada cabaran dalam sektor pertanian, teknologi dan landskap.

“Pogram ini berjaya mengangkat hasil kreativiti dan inovasi mahasiswa, membuktikan bahawa idea-idea yang lahir dari universiti bukan sekadar teori, tetapi boleh diterjemahkan menjadi penyelesaian yang nyata dan bernilai tinggi.

“Menerusi automasi pertanian dan teknologi hijau, mereka meningkatkan produktiviti sambil mengekalkan kelestarian alam.

“Perak juga boleh menjadi peneraju dalam transformasi ini jika kita berani mengambil langkah ke hadapan dalam inovasi dan penyelidikan berimpak tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup program STARTLE 2025 di sini.

Mendukung aspirasi negeri selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030

Saarani menjelaskan, sebagai institusi pendidikan yang progresif, USAS terus menerajui teknologi, inovasi dan penyelidikan melalui STARTLE.

“Penganjurannya secara konsisten membuktikan kesungguhan USAS dalam memperkasakan mahasiswa, menghubungkan akademia dengan industri, serta memacu penyelidikan dan inovasi yang relevan dengan keperluan masa depan.

“Selari dengan sembilan agenda utama Pelan Perak Sejahtera 2030, program ini juga mendukung aspirasi negeri dalam memperkasa pertanian pintar, teknologi hijau dan pembangunan landskap lestari,” ujarnya.

STARTLE 2025 platform terbaik pupuk inovasi sains, teknologi Perak
Perak Sejahtera 2030.

Beliau turut menyeru supaya sektor awam, swasta, mahupun institusi pendidikan dan penyelidikan untuk terus berkolaborasi dalam meneroka potensi baharu demi kemajuan negeri Perak yang lebih lestari dan berdaya maju.

“Matlamat kita bukan sekadar mengejar kemajuan ekonomi, tetapi memastikan pembangunan ini bersifat mampan, berdaya tahan, serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan alam sekitar.

“Jika dulu pertanian dianggap sebagai pekerjaan tradisional, hari ini ia telah melalui revolusi dengan adanya teknologi dron, sistem hidroponik pintar, dan pertanian berasaskan AI (kecerdasan buatan).

“Inovasi dalam agrikultur bukan sahaja menjadikan sektor ini lebih produktif, malah lebih mesra alam dan saya berharap mahasiswa dapat mengetengahkan lebih banyak penyelesaian baharu yang berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perkasa lahir usahawan kalangan pelajar IPT, pacu ekonomi Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI