PARIT BUNTAR – Sepasang suami isteri maut manakala anak mereka cedera dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Pantai, Batu 9 di Batu Piandang, Kuala Kurau dekat sini pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 7.29 pagi.
Menurutnya, sepasukan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kita mendapati kemalangan melibatkan dua buah kereta iaitu jenis Perodua Kelisa dan Honda City.
“Kemalangan itu mengakibatkan tiga mangsa yang berada di dalam kereta Perodua Kelisa mengalami kecederaan dan maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta Honda City tidak dapat dikesan.
“Anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mangsa yang maut adalah pemandu lelaki berusia 59 tahun dan wanita warga emas berusia 66 tahun manakala seorang remaja lelaki berusia 13 tahun hanya mengalami kecederaan.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Manakala, mangsa cedera telah dibawa ke hospital oleh pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya jam 8.50 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemandu lori tiga tan maut kemalangan