TELUK INTAN – Seramai 13 individu warga Nepal ditahan dalam kejadian rusuhan berhampiran sebuah kilang di Batu 8 Jalan Changkat Jong, dekat sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pihaknya mendapat maklumat berkenaan seorang pejalan kaki warga terbabit yang meninggal dunia dalam insiden langgar lari, pada jam 9.35 malam.
Katanya, hasil siasatan awal di lokasi mendapati kira-kira 1,000 pekerja kilang terbabit yang juga warga asing telah berkumpul di lokasi kejadian sehingga menghalang lalu lintas.
“Pasukan polis telah digerakkan bagi menenangkan dan mengawal situasi. Keadaan telah pulih sepenuhnya jam 2 pagi Sabtu dan semua pekerja warga Nepal telah kembali ke asrama mereka.
“13 warga Nepal yang juga merupakan pekerja kilang sama ditahan ditahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana mencetuskan rusuhan dan menghalang tugas pihak berkuasa. Kesemua mereka direman empat hari sehingga 18 Mac.
“Sementara insiden kematian warga Nepal yang terbabit insiden langgar lari di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Tambah Bakri, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan insiden kemalangan maut itu diminta tampil membantu siasatan dengan berhubung kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohammad Syamil talian 011-10065817.
Terdahulu tular berapa video pendek di media sosial memaparkan sekumpulan warga asing yang merusuh sehingga menghalang lalu lintas di Jalan Changkat Jong. – MG Perak
Artikel Berkaitan: