Polis perkemas kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memperkemas serta memantapkan kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara bagi menangani sebarang ancaman susulan kelantangan Malaysia dalam konflik Palestin dan Israel.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak polis juga turut memperkasa risikan bagi melindungi mana-mana pihak yang berkemungkinan menjadi sasaran.

Menurut Ayob Khan, PDRM dibawah pimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali sentiasa menjalankan pemantauan di semua pintu masuk negara.

“Kita sentiasa memantap dan memperkemaskan lagi pemantauan sama ada dari segi pintu-pintu masuk serta risikan yang kita peroleh daripada cawangan khas.

“Kita juga memperkasakan lagi kawalan terhadap sasaran penting ini termasuk penglibatan warga asing yang ada di sini yang mungkin menjadi sasaran pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tindakan di Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Ulang Tahun 69 Komando kali ke-54 dan penutupan Kursus Asas 69 Komando siri 1/2023 di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta di sini pada Rabu.

Tambah Ayob, PDRM memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan serta pengumpulan risikan melalui tindakan susulan yang dijalankan.

“Kita beri jaminan kita sentiasa mempertingkatkan kawalan, pengumpulan risikan dan tindakan-tindakan susulan kalau ada sebarang cubaan atau tindakan mana-mana pihak melanggari undang-undang,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan mengesahkan tiada sebarang tanda wujudnya unsur-unsur ancaman terhadap keselamatan negara susulan konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keselamatan negara berada dalam keadaan terkawal, namun polis masih mengambil beberapa langkah untuk memastikan keselamatan negara terus terpelihara. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Konflik Palestin-Israel: Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia tangguh perjalanan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI