Teruskan tradisi usaha buah kanto sepanjang Ramadan

DISAAT golongan belia seusianya sibuk melakukan pekerjaan yang selesa seiring dengan perkembangan teknologi, Muhd Syazwan Shahidan, 30, memilih untuk mengusahakan buah kabung sira atau lebih dikenali sebagai buah kanto mahupun kantau.

Anak kelahiran Parit, Perak ini bukan sahaja mengekalkan tradisi masyarakat setempat mengusahakan jualan isi buah kanto setiap kali Ramadan malah turut membantu penduduk kampung menjana pendapatan melalui perniagaannya itu.

Menurut Muhd Syazwan usaha yang dijalankan beliau sejak tiga tahun lalu secara kecil-kecilan kini menjadi serius selepas mendapat permintaan bukan sahaja dikalangan penduduk tempatan dan peraih malah pengunjung luar yang mencari buah berkenaan semasa Ramadan.

Katanya, sejak kecil lagi dia melihat bapa saudaranya serta penduduk kampung mengusahakan buah kanto untuk dibuat serbat setiap kali puasa.

Penduduk kampung mengambil upah memanjat pokok kabung bagi mendapatkan buahnya untuk diproses sebelum dijual kepada pelanggan di Kampung Tua, Tanjung Belanja, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Tetapi apabila saya semakin meningkat umar saya lihat tiada yang menyambung tradisi masyarakat sekitar Parit ini dan akhhirnya saya mengambil keputusan untuk meneruskan usaha ini.

“Saya mula tiga tahun lalu secara kecil-kecilan tetapi tahun ini saya betul-betul buat sebab permintaannya banyak bukan sahaja dalam Perak malah dari luar seperti Selagor,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak ketika ditemui di Kampung Tua, Parit.

Ditanya mengapa sudah tidak ramai mengusahakan buah kanto semasa Ramadan seperti dahulu, dia berkata ia mungkin disebabkan kesukaran memperoleh buah kabung berkenaan selain generasi terdahulu yang sudah meninggal dunia.

Katanya lagi, proses yang rumit serta berhadapan dengan gatal dari buah berkenaan turut menyebabkan generasi muda kurang berminat mengusahakannya.

Penduduk kampung mengambil upah mengupas buah kabung yang telah dimasak bagi mendapatkan isinya sebelum dijual kepada pelanggan di Kampung Tua, Tanjung Belanja, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Saya berminat buat buah ini sebab orang-orang lama ramai sudah meninggal dunia jadi tiada penerus selain turut melihat generasi muda di kampung yang tidak mempunyai pekerjaan.

“Selain itu saya melihat orang kampung yang berumur 60 hingga 70 tahun tiada peluang memperoleh pendapatan sedangkan sebelum ini mereka sudah biasa mengambil upah mengusahakan buah kanto.

“Jadi saya fikir kalau saya buat saya boleh bagi rezeki sikit-sikit kepada orang-orang kampung dan pada masa sama mengekalkan tradisi setiap kali puasa,” katanya.

Proses mendapatkan isi buah kanto perlu tiga ke empat hari

Muhd Syazwan turut berkongsi proses dari awal mengambil buah kabung untuk mendapatkan isinya bagi dibuat serbat sebagai juadah berbuka selain dipercayai turut menyejukkan badan.

Katanya, dia bersama beberapa rakan sekampung akan menyelusuri Sungai Perak bagi mencari pokok kabung yang kebanyakannya tumbuh di tebing-tebing sungai selain memasuki kawasan hutan.

Proses meleraikan buah kanto atau buah kabung daripada tangkai sebelum direbus bagi menghilangkan getah di Kampung Tua, Tanjung Belanja, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.
Pekerja merebus buah kanto atau buah kabung bagi menghilangkan getah sebelum proses mengupas untuk mendapatkan isinya di Kampung Tua, Tanjung Belanja, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Apabila jumpa pokok kabung kita akan ambil sebiji dahulu buahnya menggunakan galah lalu di belah bagi melihat sama ada ia muda atau tua, kalau muda kita akan tanda pokok tersebut bagi memudahkan urusan mengambilnya nanti.

“Selepas selesai menanda pokok saya akan memanggil orang untuk memanjat bagi menurunkan buah kanto dan kemudiannya di bawa ke lokasi kami merebus buah kantor,” katanya.

Jelasnya, proses merebus buah berkenaan kebiasannya mengambil masa antara satu hingga dua jam sehingga masak sebelum dihantar ke rumah penduduk kampung yang mengambil upah mengeluarkan isi dari buah tersebut.

“Buah yang sudah direbus akan dihantar ke penduduk yang mengambil upah mengopek isinya di Kampung Tua, Kampung Raja, Kampung Talang dan Kampung Nyior dengan bayaran RM7 satu tong cat 18 liter.

Buah kabung yang telah dimasak bagi mendapatkan isinya sebelum dijual kepada pelanggan di Kampung Tua, Tanjung Belanja, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Selepas isinya diambil kita akan basuh dengan bersih sebelum diambil peraih dan penduduk kampung yang menjual minuman serbat secara kecil-kecilan,” katanya.

Tambahnya, setiap proses berkenaan mengambil masa antara tiga ke empat hari bergantung kepada jumlah buah yang diprosesnya.

Tradisi buah kanto di Parit tidak akan hilang ditelan zaman

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah berkata, adalah menjadi kelaziman setiap kali menjelang Ramadan masyarakat sekitar Parit akan mengusahakan jualan buah kanto sebagai pendapatan tambahan.

Menurut beliau, meskipun sudah tidak ramai lagi penduduk mengusahakannya permintaan buah kanto semasa bulan puasa masih ada termasuk dari luar Perak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah melihat rebusan buah kanto atau buah kabung bagi menghilangkan getah sebelum proses mengupas untuk mendapatkan isinya di Kampung Tua, Tanjung Belanja, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Seperti kelaziman setiap kali menjelang Ramadan tradisi masyarakat Parit adalah buah kanto yang diambil dari pokok kabung dan merupakan tarikan utama bukan sahaja penduduk setempat malah orang luar.

“Proses menyediakannya bukanlah mudah kena ambil dari pokok kabung yang mungkin tinggi serta proses merebus dua hingga tiga jam diikuti mengasingkan isi dari buah,” katanya.

Tambah beliau, buah kanto sentiasa mendapat permintaan tinggi setiap kali Ramadan di mana harganya mencecah hampir RM15 sekilogram.

Ditanya mengenai tradisi masyarakat Parit yang kini semakin kurang diusahakan penduduk Khairudin berkata, perusahaan kanto tidak akan hilang memandangkan masih ada generasi muda yang mengambil inisiatif mengekalkannya.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah (tengah) turut membeli buah kanto atau buah kabung yang dimasak dengan perisa sirap di Kampung Tua, Tanjung Belanja, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Jika sebelum ini perusahaan kanto diuruskan datuk atau bapa anak-anak muda ini namun kini golongan berkenaan mengambil usaha meneruskan tradisi dan ia mendapa kerjasama penglibatan yang cukup ramai.

“Ini menunjukkan bahawa perusahaan buah kanto tidak akan hilang ditelan zaman dan saya melihat keperluan ia di uar-uarkan dan disensasikan khususnya di bulan Ramadan kerana tidak semua tempat ada jual buah kanto,” katanya.

Ujar beliau, terdapat kira-kira enam lokasi yang masih mengusahakan jualan buah kanto sekitar Parit dan majoritinya merupakan golongan muda.

“Kita dapat lihat kesungguhan dari anak muda di Parit meneruskan tradisi yang cukup baik ini dan saya cukuop yakin ia akan kekal dan sentiasa dinantikan semasa Ramadan,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI