TAPAH – Kontrak Datuk Rumaizi Baharin sebagai Datuk Bandar Ipoh yang akan tamat dalam tempoh terdekat tidak disambung kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani berkata, Kerajaan Negeri Perak juga telah menghantar cadangan calon bagi mengantikan jawatan Rumaizi yang telah berkhidmat sebagai Datuk Bandar selama lima tahun.
“Penjawat awam PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik) ini boleh dipinjamkan untuk lima tahun dan Datuk Bandar telah tamat lima tahun.
“Walaupun kita sudah menghantar cadangan kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk disambung, JPA tidak setuju. Jadi kita tunggulah orang baharu yang akan dihantar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri Ke-2 Tahun 2025, bertempat di Dewan Merdeka, di sini, pada Khamis.
Rumaizi dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh berkuatkuasa 1 April 2020 bagi mengantikan Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim yang dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Rumaizi yang berusia 50 tahun merupakan anak jati Ipoh berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Utara Malaysia sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Pentadbiran dan Pengurusan Tanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). -MG Perak