TAPAH – Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diharap dapat memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menggalas tugas sebagai wakil rakyat di kerusi N48 berkenaan.
Ketua Puteri UMNO Tapah, Nurul Amera Baba berkata, pergerakan itu akan membantu calon yang diumumkan Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad pada Isnin mengekalkan kemenangan kerusi N48.
Beliau berkata, Puteri UMNO Tapah akan memberi kerjasama penuh sepanjang kempen bagi memenangi calon BN yang juga merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah.
“Harapan kami Puteri UMNO Tapah sudah pasti mahu kemenangan kerusi N48 dikekalkan dan sebolehnya kami mahu pengundi Ayer Kuning yang berada di luar pulang memberi undi anda.
“Kami mahu anda memberi kepercayaan serta peluang kepada calon baharu menggalas tugas menjadi ADUN Ayer Kuning,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pergerakan puteri akan memberi tumpuan utuk mendekati serta menambat hati pengundi muda wanita dengan memberi penerangan sebaik mungkin agar mereka memilih calon BN.
Beliau berkata, Puteri UMNO secara dasarnya sentiasa menyokong calon yang diputuskan pucuk pimpinan memandangkan pemilihan calon sangat dititik beratkan bagi menambat hati pengundi.
“Calon sudah diumumkan dan saya percaya Dr Ustaz (Mohamad Yusri) selaku Setiausaha UMNO Tapah akan dapat meneruskan legasi arwah sebelum ini dan membuat yang terbaik untuk DUN Ayer Kuning.
“Kepada pengundi saya harapkan sokongan dan insan anda untuk bersama BN walaupun ada yang mengatakan ini tidak penting tetapi demi kesejahteraan Perak keluarlah mengundi pilihlah BN,” katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Isnin mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning, 26 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 26 April dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April depan.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). -MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Mohamad Yusri Tidak Sangka Dipilih Calon BN