Isu bahan kempen PRK Ayer Kuning: ‘Saya tiada masalah jumpa sesiapa’

TAPAH – Calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak berhubung dakwaan penggunaan seorang gambar individu dalam bahan kempen, tanpa kebenaran.

Abd Muhaimin berkata, sebaliknya sebagai salah seorang calon yang bertanding, beliau tidak menghadkan sebarang pertemuan atau interaksi hanya kepada penyokong parti tertentu sahaja.

Beliau juga memberi gambaran bahawa gambar yang digunakan pada bahan kempen tersebut mungkin dirakam dalam salah satu pertemuanya dengan pengundi selain beliau sendiri tidak pasti bagaimana gambar individu berkenaan digunakan

“Saya adalah calon PN untuk seluruh rakyat. Saya bukan menyantuni orang PAS sahaja, sebaliknya saya menyantuni sesiapa baik orang UMNO, Melayu dan bukan Melayu.

Jadi sepanjang saya (berkempen, saya) menyantuni sesiapa sahaja. (Mungkin dalam pada itu) ada orang ambil gambar saya (bersama individu terbabit), saya tak tahu..

“Namun saya berpandangan, saya tak perlu rasa apa-apa kerana bagi saya adalah, saya cuba hendak jadi wakil kepada mereka semua orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Ceramah Umum PN bersempena PRK DUN Ayer Kuning di Kampung Simpang Tiga, Bidor, dekat sini, pada Isnin.

Ketika diminta mengulas berkenaan tindakan susulan terhadap bahan kempen tersebut, Abd Muhaimin berkata, pihaknya bersedia untuk mengikuti sebarang arahan selanjutnya pihak berkuasa.

Tegas calon PN itu lagi, pendekatan berkempen beliau sepanjang tempoh PRK DUN Ayer Kuning ini adalah mahu mendekati dan merapatkan hubungan dengan pelbagai pihak.

“Saya sudah buka hati saya kepada semua orang. Orang kata dekat saya pun, saya berjumpa juga, saya tak ada masalah. Saya tak suka bermusuh dengan siapa-siapa. Saya hendak ajak berkawan sahaja.

“Saya terima semua orang, termasuk tuan badan yang saya jumpa tu (individu dalam gambar kempen) yang saya santuni itu,” kata beliau lagi.

Terdahulu media melaporkan, seorang wanita mendakwa gambar suaminya telah digunakan pada bahan kempen PN pada PRK Ayer Kuning tanpa memohon sebarang keizinan.

Wanita itu mendakwa suaminya tidak dimaklumkan mengenai penggunaan gambarnya bersama calon parti itu pada poster tersebut selain tampil membuat laporan polis. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Wanita dakwa gambar suami digunakan bahan kempen tanpa izin

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI