Sultan Nazrin titah terus usaha teroka tingkatkan hasil Perak, hemat berbelanja

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah usaha meningkatkan kutipan hasil negeri akan terus diterokai sementara perbelanjaan dikawal secara berhemat.

Baginda bertitah, kutipan hasil Negeri Perak pada 2024 merekodkan angka melebihi sasaran mencecah RM1.33 bilion dengan peningkatan berjumlah RM118 juta berbanding tahun sebelumnya.

Titah Sultan Nazrin, untuk tempoh tiga tahun berturut-turut, kerajaan Perak berjaya menutup Akaun Hasil Disatukan dengan kedudukan surplus; mencatatkan surplus (sebelum diaudit) sebanyak RM45.6 juta pada 31 Disember 2024.

“Beberapa inisiatif dilaksanakan bertujuan menerokai potensi baharu hasil negeri, antaranya, pemantapan pengurusan serta penguatkuasaan pengurusan sumber air di bawah Enakmen Sumber Air Perak 2023, dan mengenakan Caj Perkhidmatan Tempatan di bawah Enakmen Hotel 2023.

“Royalti industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dijangka akan memberikan sumbangan hasil baharu yang signifikan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Titah baginda lagi, langkah memberi milik tanah-tanah kerajaan negeri di tapak hidro dan bangunan Tenaga Nasional Berhad sedia ada, akan memberi nilai tambah kepada hasil negeri.

Baginda berkata, premium tambahan juga bakal diperoleh melalui projek-projek pembangunan dan pemajuan tanah perindustrian dan perumahan berimpak tinggi.

“Hala Tuju Ekonomi Biru dilancarkan, sebagai pendekatan strategik ke arah mengembangkan potensi ekonomi biru secara mampan, agar tercapai hasrat untuk memakmurkan sumber laut dan mengurus sumber marin secara lestari.

” Usaha membangunkan sektor ekonomi biru akan direalisasikan melalui pembangunan sektor utama dan pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi serta pemerkasaan pengurusan pemuliharaan marin,” titah baginda.

Baginda juga bertitah, pelbagai inisiatif dirintis untuk mempercepatkan kelulusan projek berimpak tinggi selain inisiatif yang diperkenalkan telah berjaya meningkatkan keyakinan pelabur.

“Pada tahun 2024, nilai pelaburan yang diperoleh, berjumlah RM8.7 bilion, meningkat 2.7 peratus berbanding tahun 2023; diunjurkan lebih 4,279 pekerjaan baharu bakal diwujudkan.

“Pasaran buruh mencatat prestasi positif. Kadar pengangguran di negeri Perak turun daripada 3.3 peratus pada tahun 2023 kepada 3.1 peratus pada suku tahun ketiga 2024,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah penyertaan tenaga buruh menunjukkan peningkatan, melebihi satu juta penduduk bekerja, berbanding 1.93 orang pada tahun 2023. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI