HPPNK 2023 penghargaan kerajaan kepada pengeluar makanan

IPOH – Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK), merupakan acara dwi tahunan istimewa yang diadakan bagi meraikan golongan peladang, penternak dan nelayan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjurannya antara lain sebagai manifestasi penghargaan kerajaan terhadap sumbangan pengeluar makanan, walaupun terkesan dengan pelbagai cabaran sektor agro makanan di peringkat global dan tempatan.

Beliau berkata, ia antaranya cuaca ekstrem akibat perubahan iklim, krisis geopolitik global, kenaikan kos input pertanian khususnya baja dan racun.

“Prestasi pertumbuhan sektor agro makanan di negara ketika ini kekal positif walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan domestik.

“Potensi sektor agro makanan perlu dikembangkan sebagai salah satu penyumbang utama ekonomi negara dan fokus kerajaan MADANI masa kini berada dalam landasan yang tepat untuk mengangkat dan memartabatkan sektor agro makanan, ” katanya.

Teks beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

HPPNK penghargaan kerajaan kepada pengeluar makanan - PM
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof melawat reruai pameran pada majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 NOVEMBER 2023.

HPPNK 2023 yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bermula Jumaat hingga Ahad memasuki siri ke-48 itu mengangkat tema ‘Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan’.

Penganjuran HPPNK bertepatan dengan aspirasi sambutan yang memberi tumpuan kepada aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0).

Ia juga sebagai platform bagi peladang, penternak dan nelayan untuk mendapatkan pendedahan baharu, mengembangkan jaringan kerjasama serta membuka peluang strategik kepada potensi perniagaan sepanjang sambutan itu berlangsung.

Menerusi kenyataan media berasingan, KPKM berkata, konsep baharu HPPNK 2023 memberikan daya tarikan khusus untuk golongan muda dengan memberi penekanan kepada empat fokus utama antaranya Agro Millenia bertujuan menggalak dan mengekalkan penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian.

“Tarikan utama di segmen ini ialah peluang pekerjaan dan pendidikan dalam sektor pertanian, perkongsian kisah kejayaan anak muda dan aktiviti e-sukan.

“Fokus kedua adalah Agro Teknologi, Inovasi dan Modenisasi berkonsepkan daya cipta yang menawarkan kecanggihan agro teknologi dan inovasi pertanian, penternakan, perikanan, internet pelbagai benda (IoT) dan kelestarian pertanian termasuklah segmen berkenaan perubahan iklim dan pembaziran makanan,” katanya.

Menurut kenyataan sama, fokus Sejahtera MADANI pada penganjuran HPPNK 2023 pula menawarkan enam segmen utama seperti program Townhall Healing bersama warga Agro Madani, PeladangNita dan aktiviti kekeluargaan.

Sementara fokus terakhir adalah Agro MADANI yang mana ia turut meraikan para pengunjung dengan pelbagai produk jualan pertanian menerusi Jualan Agro MADANI, Empayar Makanan, produk pertanian dan industri asas tani, buah-buahan serta florikultur.

“KPKM juga berharap sepanjang tiga hari sambutan ini, para pengunjung dapat menikmati sendiri pengalaman pertanian secara praktikal seperti simulasi ‘combine harvester simulation’ yang memberi ruang dan peluang untuk merasai suasana sebenar mengendalikan jentuai padi semasa proses penuaian di lapangan.

“Di samping itu, pengunjung juga boleh melihat dengan lebih dekat baka ternakan seperti lembu hibrid terbaik, baka kambing dan ayam saga,” katanya.

Pada masa sama, KPKM berkata antara tarikan khusus kepada anak-anak muda bagi menggalak mereka menceburi bidang pertanian, banyak teknologi yang dipamerkan.

Antaranya dron, prototaip teknologi kejuruteraan pertanian untuk sistem pertanian pintar serta model sistem pengairan dan saliran pertanian, ‘Recirculating Aquaculture System (RAS)’, asuhan ikan marin (Ikan Kerapu dan Siakap) serta pelbagai inovasi teknologi perikanan yang lain. -MG Perak.

Artikel Berkaitan:

Kebergantungan import makanan perlu ditanggani – Anwar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI