TAPAH – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bakal menjadi isyarat penting terhadap kekuatan Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, justeru semua jentera parti komponen perlu menggembleng tenaga bagi memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan dari BN, Dr Mohamad Yusri Bakir atau dikenali sebagai Ustaz Yusri, pada PRK berkenaan.
“Saya berharap semua jentera kita dapat terus bekerja untuk menarik ramai pengundi terutama mereka yang berada di luar untuk pulang mengundi dan memberi undi kepada calon kita.
“Hal ini penting, kerana kita harus beri signal yang betul. Kemenangan besar dalam PRK kali ini adalah isyarat tepat untuk kita berhadapan dengan PRU16 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perpaduan Perak 2.0 di Dewan Serbaguna Kampung Baru Coldstream Bidor, dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Calon BN, Ustaz Yusri; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Presiden MCA, serta Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng,
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, beliau yakin pengundi dalam kalangan masyarakat Cina akan memberikan sokongan penuh kepada Ustaz Yusri bagi memenangi PRK Ayer Kuning.
Walau bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa sokongan secara lisan atau kehadiran ke majlis yang dianjurkan parti Kerajaan Perpaduan semata-mata tidak menyumbang kepada keputusan pilihan raya berkenaan.
“Ia tidak memberi apa-apa makna jika kita tidak keluar mengundi pada Sabtu nanti. Ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil kira jumlah kehadiran di program, sebaliknya yang diambil kira adalah bilangan kertas dalam peti undi,” katanya lagi.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, manakala pengundian awal dijadualkan pada 22 April ini.
Pada PRK berkenaan, Ustaz Yusri daripada BN yang mewakili calon Kerajaan Perpaduan menghadapi saingan daripada PN yang diwakili Abd Muhaimin Malek serta Bawani KS daripada PSM. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Ustaz Yusri garis 7 tawaran dalam manifesto