IPOH – Perancangan projek Royal Nature Scholar (RNS) di Kuala Kangsar telah disepadukan dalam matlamat Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kuala Kangsar 2035 selepas diwartakan secara rasmi pada 16 Mac 2023.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek tersebut adalah cetusan inisiatif pembangunan bandar Kuala Kangsar yang dihasratkan mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid lima tahun lalu.
Menurutnya, misi pembangunan tersebut adalah untuk mengukuhkan status Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja di samping memelihara alam semula jadi.
Pada masa sama, beliau menjelaskan ia turut mengekalkan identiti Kuala Kangsar sebagai Bandar Ilmu melalui kewujudan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) serta institusi-institusi pendidikan unggul seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Madrasah Idrisiah.
“Projek ini akan menjadi rujukan utama bagi pembangunan dan pemajuan daerah Kuala Kangsar untuk tempoh 10 tahun. Selain itu, RTD ini telah menetapkan visi menjadikan Kuala Kangsar sebagai ‘Daerah Warisan Hijau Sejahtera’.
“Pemeliharaan alam semula jadi, pengukuhan status Bandar Diraja dan pengekalan identiti Bandar Ilmu terus diberi penekanan dalam perancangan pembangunan, projek dan program yang akan dilaksanakan di Daerah Kuala Kangsar.
“Justeru, kesemua elemen RNS ini masih lagi diberi perhatian sesuai dengan character, aset dan sumber sedia ada yang ditambah nilai dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Berhanudin Ahmad (PN-Manong) sewaktu Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Sementara itu, mengenai perancangan pembangunan ekonomi pesisir sungai khususnya di Manong, Saarani menjelaskan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 dan RTD Kuala Kangsar 2035 telah menetapkan Pengukuhan Koridor Pertanian Manong – Beruas – Parit.
Katanya, ia sebagai strategi utama pembangunan yang memfokuskan pertanian, penternakan dan perikanan berteknologi tinggi.
“Kelebihan struktur muka bumi dan sumber alam semula jadi yang diperoleh dari Sungai Perak telah menjadikan kawasan Manong sangat berpotensi dalam sektor pertanian.
“Selain itu, beberapa projek telah dirancang untuk pembangunan Pekan Manong antaranya menaik taraf kemudahan di sekitar Dataran Amanjaya Manong dengan memperluaskan kawasan niaga sementara dan tidak kekal seperti ruang trak makanan dan car boot sale.
“Memperkukuhkan pusat perniagaan tempatan sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan terkini dengan sasaran peluasan aktiviti perniagaan di pusat perniagaan tempatan sedia ada di Pekan Manong seluas 4.83 hektar bagi pembangunan 120 unit bangunan kedai pejabat dua tingkat.
“Membangunkan semula kawasan perniagaan usang di pusat perniagaan tempatan terpilih bagi mewujudkan kawasan perniagaan yang berkualiti dengan menjalankan pembangunan semula kawasan perniagaan seluas dua hektar bagi pembangunan 60 unit rumah kedai pejabat dua tingkat dengan ciri seni bina tempatan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: