TAPAH – Barisan Nasional (BN) giat mendekati komuniti India kategori pengundi kelabu dan pengundi luar dalam tempoh berbaki dua hari menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, hasil siri kempen yang dijalankan oleh MIC sejak 12 April lalu, pihaknya telah mengenal pasti bahawa daripada lebih 3,000 pengundi India, sebanyak 2,600 orang dikenal pasti sebagai pengundi putih.
Katanya, selebihnya merupakan pengundi kelabu dan pengundi luar yang kini sedang didekati oleh jentera BN, khususnya daripada komponen MIC.
“Pengundi kelabu ini termasuk kepada mereka yang tidak menyatakan pendirian, namun saya boleh katakan kita sudah ada dalam tangan 2,600 pengundi masyarakat India.
“Ketika ini kita juga sedang berkomunikasi dengan pengundi luar termasuk dalam kalangan ahli MIC untuk pulang mengundi di Ayer Kuning pada Sabtu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Makan Tengah Hari dan Perjumpaan Bersama Masyarakat di Jalan Besar Kampung Baru Air Kuning, dekat sini, pada Khamis.
Terdahulu, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri menyantuni masyarakat India dan Cina yang hadir ke program yang turut dihadiri Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Mengulas lanjut, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, beliau yakin calon BN mampu meraih kemenangan dalam PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini.
Kata beliau, kemenangan tersebut akan melengkapkan kesinambungan representasi pelbagai kaum di kawasan Tapah, selaras dengan semangat perpaduan nasional yang dibawa oleh BN.
“Di Parlimen Tapah ia diwakili oleh tiga wakil rakyat (dari tiga kaum) iaitu MIC (Tapah), MCA (DUN Chenderiang diwakili) Choong Shin Heng, dan sudah semestinya kita perlukan seorang daripada UMNO (di DUN Ayer Kuning).
“Jika kita lihat pihak lawan ini pula datang dari luar yang mana mereka tidak mempunyai identiti sendiri. Mereka hanya menunjukkan kewujudan mereka apabila tiba pilihan raya,” ujarnya.
Tambah beliau, ketiadaan sebarang isu besar di kawasan Tapah, khususnya di Ayer Kuning, turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kelebihan calon BN.
Walau bagaimanapun kata beliau, pelbagai program kempen masih dipergiat bagi terus menambat hati pengundi agar memihak kepada BN.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ustaz Yusri daripada BN, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: