TAPAH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memandang serius kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, kesilapan tersebut tidak boleh dimaafkan dan siasatan perlu dijalankan hingga ke ‘lubang cacing’ bagi mencari pelaku berkenaan.
“Isu KPM pada pandangan saya tersalah cetak Jalur Gemilang adalah satu perkara yang tidak boleh dimaafkan dan perlu diambil serius memandangkan telah diedar kepada pelajar kita yang menunggu keputusan SPM.
“Kalau kita katakan alasan kepada AI (kecerdasan buatan) ia perlu diperiksa kerana AI ini adalah satu sistem di mana apa yang kita sumbat kedalamnya dia akan analisa dan keluar benda sama.
“Kalau kita sumbat bendera tidak ada bulan sabit maka tidak adalah bulan sabit. Kerana itu saya percaya ini bukanlah satu perkara yang boleh dibiarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Command Center Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, soal kesilapan pada Jalur Gemilang tidak boleh dipandang enteng memandangkan ia melibatkan kedaulatan negara.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, pihaknya tidak mahu Kerajaan Madani menerima tohmahan daripada pembangkang disebabkan kesilapan KPM itu.
“Jadi saya minta hasil siasatan ini perlulah diberi pemakluman secara meluas kepada semua rakyat Malaysia. Siapakah perlu bertanggungjawab, perlu diambil tindakan, perlu diberhentikan kerja dan sebagainya.
“Bentuk tindakan itu perlu digembar-gemburkan kepada rakyat untuk menunjukkan betapa seriusnya kesilapan yang telah dilakukan mereka kerana saya percaya perkara ini diambil mudah oleh pihak yang membuat risalah tersebut,” katanya.
Semalam, KPM dalam satu kenyataan memohon maaf atas kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM yang diedarkan.
Katanya, tindakan tegas dan serta-merta telah diambil ke atas semua yang terlibat selain siasatan terperinci juga sedang dijalankan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, sebarang tindakan berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang itu akan diambil selepas laporan penuh berhubung insiden itu diperoleh. -MG Perak