TAPAH – Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek, telah melengkapkan keseluruhan siri kempen turun padang bagi mendekati pengundi di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menurutnya, pendekatan menyantuni pengundi di setiap PDM bersama jentera parti diharap mampu membawa kemenangan kepada beliau pada PRK kali ini.
“Kita belum habis lagi dalam siri kempen PRK ini, dan oleh itu kita akan terus menyantuni pengundi dengan dalam tempoh berbaki kurang 24 jam lagi.
“Seboleh-bolehnya kita mahu memastikan seluruh pengundi di DUN Ayer Kuning dapat merasai sentuhan kasih sayang kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Grand Finale PN PRK Ayer Kuning di Taman Golf Bidor, dekat sini, malam tadi.
Hadir sama, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S. P. Punithan; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dalam pada itu Abd Muhaimin berkata, beliau memperkenalkan tawaran manifesto bertemakan ‘TEKAD: Tekad Muhaimin untuk Rakyat’ dalam setiap siri kempen sebagai usaha meraih undi.
Menurutnya, antara isu utama yang diberi keutamaan dalam manifesto tersebut ialah berkaitan alam sekitar dan kesihatan.
Pada masa sama, beliau berjanji akan menjadi pemudah cara kepada rakyat di Ayer Kuning sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
“Jadi kita akan jadi suara pendesak dan menjadi pemudah cara kepada seluruh rakyat di DUN ini.
“Segala permasalahan boleh kita selesaikan melalui agensi-agensi tertentu. Kita akan cuba selesaikan dengan cara bawa masalah itu ke pejabat (kerajaan), berjumpa dengan Exco, atau pihak-pihak berwajib. Ini komitmen kita untuk rakyat di Ayer Kuning,” kata beliau.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) yang diwakili Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri; calon PN, Abd Muhaimin dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: