Mula sebagai penonton, kini penggemar hobi ‘free fly’ burung kakak tua

IPOH – Hampir setiap petang hujung minggu, penduduk di sekitar Meru di sini, akan melihat suasana kelibat beberapa burung kakak tua yang terbang bebas di langit sebelum kembali bertenggek di bahu atau lengan pemiliknya.

Aktiviti yang dikenali sebagai ‘free fly’ atau membebaskan burung kakak tua itu makin mendapat sambutan dalam kalangan komuniti di Ipoh sejak akhir-akhir ini.

Tidak seperti kebiasaan memelihara burung dalam sangkar, aktiviti ini membolehkan burung kakak tua yang dilatih dilepaskan di kawasan terbuka untuk terbang bebas sebelum kembali semula kepada tuannya.

Syed Zulfakar Syed Nazardin Shah, 34, berkata minatnya terhadap hobi membebaskan burung kakak tua itu timbul secara tidak sengaja ketika membawa keluarga bersiar-siar di sekitar kawasan perumahan Taman Chepor Permai.

Katanya, pada awalnya dia mempunyai stigma terhadap aktiviti memelihara burung yang hanya mengurung haiwan itu di dalam sangkar.

Namun ujarnya ia berubah, selepas melihat bagaimana burung itu dilatih terbang bebas dan kembali kepada tuannya.

“Saya mula minat kepada aktiviti ini sekitar Mei tahun lepas. Waktu itu saya sedang bawa anak berjalan-jalan dan ternampak satu kumpulan orang sedang lepaskan burung kakak tua. Saya ingatkan mereka buat persembahan.

“Pada mulanya saya fikir untuk anak-anak, tetapi lama-kelamaan saya pula yang lebih terlibat. Sekarang, ia sudah jadi hobi si bapa pula,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi peminat hobi sama, Muhammad Shafiq Abdullah, 30, mula terlibat setelah melihat rakan-rakannya berkongsi video berkenaan aktiviti tersebut di media sosial.

Malah katanya, dia kini mula memelihara burung kakak tua jenis spesies ‘electus’ yang berasal dari Indonesia sebagai pelengkap kepada hobi itu.

Mengulas lanjut Muhammad Shafiq berkata, selain saiz burung, cuaca turut memainkan peranan penting dalam memastikan haiwan berkenaan dapat terbang dengan baik.

“Keadaan seperti angin kuat atau hujan lebat tidak sesuai untuk dijalankan aktiviti ini kerana ia boleh membahayakan burung kakak tua, terutama yang masih dalam proses latihan.

“Oleh itu, cuaca mendung atau keadaan tidsk terlalu panas sesuai untuk aktiviti free fly ini. Kalau angin kuat, burung mungkin sukar untuk lawan arah angin dan takut hilang kawalan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu Syed Zulfakar memberitahu, kawasan-kawasan lapangan seperti di Klemeru merupakan antara lokasi tumpuan penggemar hobi berkenaan pada setiap petang hujung minggu.

Katanya, selain melatih haiwan peliharaan berkenaan untuk terbang dan pulang, ia juga menjadi medan untuk mereka bertukar-tukar ilmu dan pengalaman masing-masing menjinakkan burung kakak tua.

Selain itu, kedua-dua mereka kini aktif bersama komuniti Persatuan Burung Kakak Tua Perak yang telah ditubuhkan hampir dua tahun lalu, dengan penyertaan ahli-ahli dari pelbagai latar belakang. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Terbang Bebas Tetap Pulang, Hobi Free Fly Parrot

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI