IPOH – Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan Nurul Izzah Anwar sebagai individu yang selayaknya menyambung obor perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu berkata, pihaknya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa Nurul Izzah adalah calon terbaik untuk Timbalan Presiden PKR.
Beliau berkata, ia bertujuan menjamin kelangsungan parti selain Nurul Izzah mempunyai keupayaan menjambatani idealisme dengan tuntutan realiti politik semasa.
“Merebut kuasa dalam gelanggang demokrasi adalah lumrah, namun apa yang utama adalah bagaimana kuasa diterjemah demi rakyat.
“Justeru, dalam usaha kita mengolah amanah dan harapan rakyat saat ini, ketokohan dan karisma ternyata menjadi penyuntik kekuatan dan semangat baharu di kalangan pimpinan dan anggota,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Kamil berkata, sejarah tidak mampu menafikan betapa ketokohan Nurul Izzah teruji dengan asakan sistem yang zalim di masa lalu.
Katanya, peristiwa itu melonjak kepemimpinan Nurul Izzah tatkala menjadi antara pengasas dan penggerak awal gerakan reformasi dan memastikan lahirnya PKR sebagai wadah untuk massa.
“Dengan nilai kepemimpinan yang tegas dan unik, saya punyai harapan yang besar pada kepemimpinan beliau dalam memungkinkan lakaran sejarah bangsa yang lebih terangkum dan berketrampilan
“Masanya telah tiba. Bersatulah untuk REFORMASI,” katanya. -MG Perak