Lemang Tepung makanan tradisi ‘Orang Parit’

RUPANYA seakan bengkang atau bingka manakala cara memasaknya pula sama seperti lemang pulut menggunakan buluh lalu dibakar sebelum dijamah tanpa rendang.

Dikenali sebagai lemang tepung makanan tradisi yang hanya terdapat di beberapa negeri termasuk Perak ini mempunyai peminatnya sendiri dan boleh dinikmati semasa musim perayaan masyarakat Melayu.

Di Perak sendiri, lemang tepung merupakan makanan tradisi di beberapa kawasan seperti Kuala Kangsar dan Parit namun ia semakin sukar diperoleh kerana tidak ramai yang tahu menyediakannya.

Bagi warga emas Norani Nordin, 61, pengalaman membuat lemang tepung lebih 20 tahun masih digunakan sehingga hari ini bagi menyediakan juadah terutama sekali semasa musim perayaan selain memenuhi permintaan pembeli.

Bagaimanapun, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan Moraini hanya menyediakan lemang tepung semasa musim perayaan untuk saudara dan kenalan rapat sahaja.

Norani Nordin

Dia yang menetap di Kampung Tua, Parit berkata, meskipun penyediaannya tidak remeh dan masa membakar yang tidak lama berbanding lemang pulut ia masih memerlukan ketelitian semasa penyediaan.

Noraini berkata, dia mempelajari kaedah memasak lemang tepung daripada ibu mertuanya dari Kampung Mandah, Kuaka Kangsar, 22 tahun lalu selepas berkahwin dengan suaminya.

“Selepas itu setiap tahun saya akan memasak lemang tepung dan bila emak mertua meninggal dunia saya masih meneruskan apa yang diajarnya itu.

“Sampai sekarang bila adik-beradik mahupun ahli keluarga yang lain hendak makan lemang tepung mereka akan datang ke rumah saya, akan mencari saya untuk membuatnya,” katanya.

Lemang Tepung perlu ada rasa lemak santan

Berkongsi kaedah menyediakan lemang tepung Noraini berkata, bahan utama yang digunakan adalah tepung gandum, santan, telur dan gula kabung yang kemudiannya dibancuh menjadi adunan.

Lemang tepung makanan tradisi masyarakat Melayu di Kampung Tua, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 MEI 2025.

Noraini berkata, bahan yang digunakan adalah sekilo tepung gandum, sekilo santan kelapa, dua cawan gula dan tiga biji telur.

“Kalau saya masak memang sekilo tepung maka sekilo juga santannya baru dia nangkap sikit sebab orang Perak ini kalau tidak lemak tidak sedap makan.

“Selepas dibancuh kita akan masukan dalam buluh lemang yang diisi daun pisang untuk dibakar namun jumlah bancuhan yang dimasukkan perlu separuh sebab ia akan naik.

“Selepas itu ia akan dibakar sekitar sejam setengah ke dua jam bergantung kepada ketebalan saiz buluh tidak seperti lemang tepung memerlukan masa lebih empat jam,” katanya.

Lemang Tepung makanan tradisi 'Orang Parit'
Penduduk setempat bergotong royong membakar lemang tepung makanan tradisi masyarakat Melayu di Kampung Tua, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 MEI 2025.

Tambahnya, lemang tepung mempunyai dua jenis iaitu berwarna gelap menggunakan gula merah atau kabung dan berwarna hijau menggunakan air daripada daun pandan.

“Ada yang cakap lemang tepung ini macam kuih bengkang ada juga cakap seperti bingka kerana teksturnya yang lembut dan manis sesuai untuk semua umur.

“Cuma lemang tepung dimakan begitu sahaja tidak seperti lemang pulut yang dimakan dengan rendang,” katanya.

Tidak semua berkemahiran menyediakan lemang tepung

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negei (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah berkata, lemang tepung amat terkenal dalam kalangan masyarakat di Parit terutamanya semasa musim perayaan.

Beliau berkata, bagaimanapun tidak semua kampung di Parit mempunyai makanan tradisional ini dan ia hanya boleh diperoleh di kawasan tertentu sahaja.

“Di Parit ini apabila tiba sahaja musim perayaan ramai yang akan membuat lemang pulut, jagung dan pulut hitam namun selain itu kita ada lemang tepung yang dibuat dari tepung gandum dicampur dengan gula merah atau air daun pandan.

Lemang Tepung makanan tradisi 'Orang Parit'
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah bersama penduduk setempat bergotong royong menyiapkan lemang tepung makanan tradisi masyarakat Melayu di Kampung Tua, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 MEI 2025.

“Ia merupakan antara makanan popular khususnya bagi masyarakat kampung di Parit memandangkan proses penyediaan lemang tepung ini lebih mudah berbanding lemang pulut dan sebagainya,” katanya.

Khairudin berkata, meskipun lemang tepung dikenali dalam kalangan masyarakat di Parit namun bukan semua berkemahiran menyediakan juadah tersebut lebih-lebih lagi generasi muda.

“Lemang tepung ini merupakan hasil pembuatan daripada orang-orang dahulu dan ada yang diteruskan dalam kalangan masyarakat di Parit, namun bukan semua orang ada kemahiran menyediakannya.

“Disebabkan ia semakin sukar dicari maka permintaannya sentiasa ada dan tinggi. Sesiapa yang berkemahiran membuatnya dapat menjana pendapatan lebih-lebih lagi musim perayaan,” katanya.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah bersama penduduk setempat bergotong royong membakar lemang tepung makanan tradisi masyarakat Melayu di Kampung Tua, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 MEI 2025.

Mengakui bahawa jumlah mereka yang menyedia serta menjual lemang tepung di Parit sudah tidak ramai Khairudin berkata, pihaknya percaya makanan itu tidak akan hilang di telan zaman.

Beliau berkata, ini kerana terdapat beberapa orang generasi muda mengambil inisiatif meneruskan usaha berkenaan dengan mempelajari kaedah pembuatannya.

“Sudah tentu sebagai orang Parit saya mahu lemang tepung ini diteruskan tradisinya dan saya melihat ada dalam kalangan pembuat lemang tepung mula menurun kaedah pembuatan supaya ia kekal.

“Saya yakin apabila generasi muda mula mempelajari pembuatan lemang tepung ini ia akan menjadi makanan yang kekal di Parit,” katanya. -MG Perak

VIDEO:

MGPerak: Lemang Tepung Makanan Tradisi ‘Orang Parit’

MGPerak: Lemang Tepung Makanan Tradisi ‘Orang Parit’

ARTIKEL BERKAITAN:

Kebebe makanan warisan Lenggong ratusan tahun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI