Nahas FRU: 15 saksi telah dipanggil termasuk pemilik syarikat lori

TELUK INTAN – Seramai 15 saksi telah dipanggil bagi dirakam keterangan termasuk pemilik syarikat lori untuk membantu siasatan nahas jalan raya yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pemilik syarikat berkenaan telah tampil memberi kenyataan bagi membantu siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada Khamis.

“Fokus utama sekarang ialah kepada mereka yang benar-benar berada di lokasi dan melihat kejadian berlaku.

“Ini kerana konvoi (dalam nahas itu) melibatkan tujuh kenderaan dan tidak semua berada dalam jarak yang sesuai untuk menyaksikan insiden dengan jelas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Jumaat.

Kata Bakri, siasatan dijalankan dengan kerjasama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan beberapa pihak berkepentingan lain.

Beliau berkata, siasatan terhadap nahas jalan raya yang mengorbankan sembilan anggota FRU itu dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Bakri memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

“Setakat ini tiada pihak yang tampil bersama dashcam. Saya menyeru orang ramai untuk majukan kepada kita rakaman tersebut kerana ia merupakan keterangan matan yang boleh dikemukakan di mahkamah.

“Sesiapa yang mempunyai rakaman sebelum, semasa atau selepas kejadian boleh salurkan kepada pihak polis dan identiti sumber akan dirahsiakan,” jelas beliau.

Dalam kejadian 8.50 pagi Selasa, sembilan anggota FRU maut selepas trak pasukan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, dekat sini.

Ketika nahas itu berlaku, kenderaan dinaiki 18 anggota dari Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.

Akibat kemalangan itu sembilan anggota FRU yang menaiki trak berkenaan maut, manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas FRU: Pemandu lori mengaku tidak bersalah

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI