Perak rancang tubuh Pusat Ujian Automotif Kebangsaan

IPOH – Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), dalam perancangan menubuhkan Pusat Ujian Automotif Kebangsaan (NATC) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, NATC akan berperanan sebagai pusat pembangunan automotif nasional dan serantau, pengesahan serta pensijilan terhadap pematuhan peraturan bagi kenderaan dengan berfokus kepada teknologi baharu.

Menurutnya, bagi merealisasikan perancangan tersebut, delegasi kerajaan negeri bersama AHTV mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Horiba Mira di Leicester, United Kingdom untuk satu sesi penanda aras.

“Horiba Mira adalah sebuah syarikat kejuruteraan dan perundingan teknikal bertaraf antarabangsa yang memberi tumpuan kepada penyelidikan, pembangunan, pengujian dalam bidang automotif serta sektor-sektor berkaitan.

“Syarikat yang beroperasi di dalam MIRA Technology Park itu yang adalah salah satu pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) automotif utama di Eropah,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya.

Saarani memaklumkan pertemuan itu berlangsung bersama delegasi kerajaan negeri sewaktu Misi Pelaburan Kerajaan Negeri Perak ke United Kingdom.

Perak rancang tubuh Pusat Ujian Automotif Kebangsaan
Sesi taklimat pengurusan Horiba Mira sewaktu lawatan Delegasi Kerajaan Negeri Perak bagi Misi Pelaburan Kerajaan Negeri Perak di Leicester, United Kingdom. Foto ihsan FACEBOOK SAARANI MOHAMAD

Dalam pada itu, beliau berkata, Horiba Mira memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi automotif yang selamat, bersih dan pintar selain menjadi rakan strategik kepada pelbagai pengeluar kenderaan global dalam pembangunan produk-produk inovatif masa depan.

“Untuk makluman Syarikat Horiba Mira ditubuhkan pada tahun 1946 dengan nama asalnya Motor Industry Research Association (MIRA) sebelum diambil alih oleh syarikat Jepun, Horiba Ltd. pada 2015 dan dijenamakan semula sebagai Horiba Mira Ltd.

“Penggabungan ini telah memperkukuhkan lagi keupayaan teknikal dan global syarikat dalam bidang kejuruteraan mobiliti,” jelasnya.

Saarani berharap, pertemuan tersebut menjadi landasan kukuh kepada jalinan kerjasama strategik ini dan mampu merealisasikan pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan serta pemerkasaan ekosistem industri automotif berteknologi tinggi di Malaysia, khususnya di Perak. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak tarik pelaburan RM200 juta dari Perancis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI