IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) menjalin kerjasama dengan sembilan syarikat dalam usaha memacu kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
PUO dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama itu dijalin menerusi pemeteraian Surat Hasrat (LoI) dalam sebuah majlis di Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, PUO, di sini pada Khamis.
Sembilan syarikat berkenaan adalah OSK Holding Berhad; BMI Roofing Systems Sdn. Bhd.; Panasonic Air-Conditioning Malaysia Sdn. Bhd.; Camfil Malaysia Sdn. Bhd.; RZ Management Services; Shukri Yusof & Co.; Zahar & Associates Sdn. Bhd.; Hisham & Co. dan Real Management Services.
Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah dalam ucapan beliau berkata, jalinan kerjasama itu bakal meningkatkan kebolehpasaran graduan PUO di mana pelajar dapat memperoleh pengalaman langsung melalui latihan industri
“Selain itu, ia juga membantu pelajar melalui program peningkatan kemahiran (upskilling)dan pemahiran semula (reskilling) serta serta peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Ia juga dapat memperkukuhkan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memastikan kurikulum yang ditawarkan selari dengan keperluan industri,” katanya.
Shamsuri juga turut menghargai penglibatan Industri yang boleh menawarkan program latihan, bengkel, dan seminar kepada pelajar serta tenaga pengajar politeknik, memastikan mereka sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam bidang masing-masing.
Sementara itu, PUO dalam kenyataan sama berkata, Corporate, Industrial Services & Employability Centre (CISEC) miliknya sentiasa berusaha meningkatkan kolaborasi strategik.
Katanya ia dengan mengorak langkah bersama rakan industri dan agensi kerajaan berkaitan teknologi mencakupi bidang kurikulum, latihan, penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran dan kebajikan masyarakat.
“Sehingga kini, lebih 600 buah industri sedang berkolaborasi aktif dengan PUO termasuk dalam penyediaan tempat Latihan Industri pelajar.
“Kerjasama kesemua sektor ini merupakan usaha berterusan yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
PUO sentiasa optimis dan melaksanakan langkah proaktif bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk merancakkan segmen industri yang dapat meningkatkan pendapatan negara serta menyediakan kelompok tenaga mahir yang amat diperlukan Malaysia. -MG Perak