LENGGONG – Badan ‘geopark’ atau taman geologi antarabangsa Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dijadual akan melakukan penilaian rasmi UNESCO Global Geopark di sini pada Julai nanti.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penilaian dilakukan oleh tenaga-tenaga pakar dari Jepun dan Turkiye dijangka akan berlangsung selama lima hari bermula 10 Julai.
Kata beliau, sekiranya hasil penilaian berkenaan mendapat keputusan yang memberangsangkan, Lenggong bakal mendapat pengiktirafan sebagai tapak UNESCO Global Geopark atau Taman Geologi Global UNESCO ketiga di Malaysia, selepas Kinabalu di Sabah, dan Langkawi, Kedah.
“Lembah Lenggong telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012 dan juga diiktiraf sebagai Taman Geologi Kebangsaan pada 2021.
“Sejak daripada itu badan pengurusan Taman Geologi Lenggong telah melakukan pelbagai persediaan untuk kita pergi ke peringkat lebih tinggi.
“Kita telah melalui fasa prapenilaian baru-baru ini dengan semua tapak geologi telah dinilai termasuk kemudahan asas, warisan, makanan, gua, tasik serta elemen kebudayaan yang menjadi sebahagian daripada nilai tapak geologi,,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Kenduri Kahwin Beramai-ramai Parlimen Lenggong di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, dekat sini, pada Ahad.
Terdahulu, majlis itu dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin, serta turut dihadiri bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, beliau yakin Lenggong bakal melepasi penilaian berkenaan atas faktor kekayaan geografi, budaya dan nilai sejarah yang terdapat di daerah berkenaan.
“Meneliti dua Taman Geologi Global UNESCO lain iaitu Kinabalu dan Langkawi, Lenggong mempunyai keistimewaan yang melayakakkan ia untuk mendapat pengiktirafan sama.
“Misalnya kita ada kesan geologi hentaman meteorit di Bukit Bunuh, keunikan biologi di Tasik Raban, serta 99 gua di Lembah Lenggong yang kaya dengan nilai arkeologi tersendiri,” katanya lagi.
Tambah beliau, pengiktirafan itu juga penting kerana ia secara tidak langsung bakal memberi impak positif kepada pembangunan kelestarian serta pelancongan di Malaysia, khususnya di Negeri Perak. – MG Perak
Artikel Berkaitan: