AKPS halang kemasukan 279 warga asing di KLIA

PUTRAJAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan 279 warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan India memasuki negara ini tanpa memenuhi syarat kemasukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah berkenaan merupakan rekod harian tertinggi bagi kes tidak dibenarkan mendarat (NTL) sejak penubuhan Pasukan Pemantau KLIA pada 2023.

“Trend kemasukan warganegara asing secara tidak sah semakin meningkat, khususnya ketika waktu kemuncak ketibaan dan musim cuti umum di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan keadaan kesesakan dan aliran pelawat yang tinggi di KLIA sering dimanipulasi  segelintir individu untuk menyusup masuk ke negara ini dengan menyalahgunakan kemudahan kemasukan yang tersedia.

“Langkah pengusiran merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AKPS dalam memperketat kawalan keselamatan sempadan, sekali gus memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan memenuhi semua syarat dibenarkan memasuki negara ini.

“Semua individu terbabit telah diarahkan pulang ke negara asal masing-masing serta-merta selepas proses dokumentasi dan semakan lanjut dijalankan oleh pegawai AKPS,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan kejayaan berkenaan sekali lagi membuktikan komitmen pihaknya dalam melaksanakan pemantauan yang tegas dan konsisten demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

“Sejak ditubuhkan, Pasukan Pemantau AKPS KLIA telah memberi impak positif dalam meningkatkan keberkesanan saringan awal serta pengesanan pelawat berisiko,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI