BAGAN DATUK – Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C yang menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas dikesan melanggar syarat sah lesen.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel berkenaan ditahan pada jarak 8.5 batu nautika barat daya Sungai Tiang, dekat sini sekitar jam 6 petang semalam.
Menurutnya, vesel tersebut didapati menjalankan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan ketika rondaan rutin dijalankan oleh bot ronda Maritim Malaysia.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tekong dan tiga awak-awak warga Myanmar memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menjalankan aktiviti perikanan di kawasan larangan serta di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melibatkan kru yang tidak mempunyai permit atau dokumen sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Maritim Malaysia turut merampas vesel, hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat agensi itu.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang di perairan negara dipatuhi.
“Maritim Malaysia menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: