IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyumbang 126 ekor lembu untuk diagihkan kepada masjid dan surau Parlimen Tambun sempena sambutan Aidiladha pada Sabtu.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu, sekali gus menggambarkan komitmen Anwar dalam memastikan setiap masjid dan surau dapat melaksanakan ibadah korban.
Menurutnya, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Perdana Menteri bagi membantu masyarakat, khususnya dalam kalangan yang memerlukan, selain menggalakkan semangat gotong-royong dan ibadah bersama.
“Kami sudah maklumkan kepada semua pengerusi masjid supaya sumbangan ini dapat diagihkan secara menyeluruh, terutamanya kepada golongan B40 bagi mereka merasai nikmat ibadah korban,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan dan Akad Lembu Korban 2025 Peringkat Parlimen Tambun di Dewan Sekolah Kebangsaan Meru Raya, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Shamsul Iskandar turut memaklumkan bahawa inisiatif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang membeli lembu korban secara pukal dan pada harga berpatutan dilihat sebagai satu pendekatan yang berkesan serta berpotensi dikembangkan secara lebih meluas.
“Melalui pelaksanaan projek perintis tersebut, lembu korban berjaya dijual pada harga RM2,800 seekor atau RM399 bagi satu bahagian, sekali gus membuka peluang lebih ramai umat Islam untuk menunaikan ibadah korban pada harga mampu milik.
“Inisiatif ini amat menggalakkan dan kita percaya jika kaedah ini diperluas, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, tetapi turut meningkatkan kesedaran dan penyertaan dalam ibadah korban,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pendekatan seumpama itu telah diguna pakai di beberapa buah negara lain, yang membolehkan rakyat menyertai ibadah korban dengan kos yang lebih rendah.
Tambahnya, sekiranya konsep tersebut diperbanyakkan, lebih ramai umat Islam di negara ini dapat melaksanakan korban tanpa terbeban dengan kos yang tinggi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: