PARIT -Kerajaan Perak akan menghulurkan bantuan susulan kepada keluarga mangsa nahas jalan raya di Kilometer 7, Jalan Jerantut–Maran, Pahang yang meragut nyawa lima sekeluarga termasuk empat beradik.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah segera bagi meringankan beban keluarga berkenaan sebagai tanda keprihatinan.
Katanya, antara usaha yang dilakukan termasuk meminta agar proses penyaluran skim perlindungan takaful kematian pelajar di bawah Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia (TPSM) melibatkan salah seorang mangsa, Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17, dapat disegerakan.
Menurut beliau, Allahyarhamah merupakan pelajar Tingkatan Lima dalam aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Rahman Yakub, Bota, dekat sini.
“Apabila berlaku tragedi atau kematian akibat kemalangan melibatkan pelajar sekolah, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyalurkan caruman insurans berjumlah RM5,500 kepada waris.
“Saya telah memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) agar mempercepatkan proses ini.
“Malah, saya juga telah berhubung dengan pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya serahan insurans ini dapat dibuat dalam masa terdekat sebagai tanda simpati kepada keluarga,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Bota Kanan, di sini, malam tadi.
Media melaporkan lima sekeluarga termasuk empat beradik maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua kereta di km 7 Jalan Jerantut – Maran, pada awal pagi Sabtu.
Selain Nurul Hazwani, nahas itu turut mengorbankan adik beradiknya yang lain iaitu Nur Arfiqah, 23; Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19, serta suami kepada Nur Arfiqah, Mohamad Ikmal Ishak, 26.
Mengulas lanjut, Khairudin berkata bahawa keluarga mangsa turut mempunyai seorang lagi anak yang masih bersekolah di peringkat rendah, dan oleh itu beliau telah meminta PPD untuk menyediakan sesi kaunseling bagi memastikan emosi murid berkenaan tidak terganggu.
Pada masa sama, Khairudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja berkata, pihaknya akan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memantau keadaan ibu bapa serta memberi bimbingan dan sokongan psikologi yang diperlukan.
“Mewakili kerajaan negeri, saya menzahirkan rasa simpati dan dukacita atas tragedi yang menimpa keluarga ini, apatah lagi tatkala kita sedang menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Oleh itu, kita akan berbincang dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk meneliti keperluan-keperluan lain yang boleh disalurkan kepada keluarga ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap insiden yang menyayat hati ini,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas Jerantut: Lima sekeluarga selamat dikebumikan dalam satu liang lahad