Sekurang-kurang 13 maut, 31 cedera bas UPSI berlanggar dengan Alza

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 13 orang meninggal dunia manakala 31 lagi cedera apabila sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik – Jeli, berhampiran Tasik Banding, awal pagi ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kemalangan yang berlaku jam 1.04 pagi itu menyebabkan bas tersebut terbalik manakala kereta itu terbabas ke dalam parit.

“Bas dan Perodua Alza dalam laluan yang sama iaitu dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik Semasa jentera sampai didapati kemalangan melibatkan mangsa seramai 48 orang.

“Terdapat mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.

“Setakat ini seramai 13 mangsa telah disahkan meninggal dunia dan 31 orang cedera (mangsa dari bas) dan tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan seorang mangsa mengalami patah tangan (dari Perodua Alza) telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak Bomba tiba,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Ketua Operasi telah melakukan size up dan mengaplikasikan konsep saver dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas Hidraulic cutter.

Katanya, apabila ruang kerja berjaya dilakukan didapati terdapat enam mangsa masih berada di dalam bas mankala dua mangsa cedera parah dan empat mangsa didapati telah meninggal dunia dan tidak tersepit.

Tambahnya, tindakan penyelamatan dilakukan oleh bomba dengan menstabilkan mangsa yang cedera dan membawa keluar dari dalam bas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mangsa-mangsa yang cedera termasuk yang berjaya keluar dengan sendiri telah diberi perawatan awal oleh pihak KKM yang berada dilokasi,” ujarnya.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan EMRS, ambulan KKM dan ambulan APM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI