Nahas pelajar UPSI: Kerajaan jamin siasatan terperinci

GERIK – Kerajaan memberi jaminan akan menjalankan siasatan terperinci melibatkan nahas jalan raya yang mengorbankan 15 individu termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi Isnin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, semua pihak turut diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli sekitar 12.30 pagi itu.

Beliau berkata, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Saya percaya siasatan akan dibuat oleh pihak agensi dan jabatan berkaitan dan kerana itu saya berharap agar tidak ada sebarang spekulasi atau andaian dibuat terutamanya komen dalam sosial media.

“Ia bertujuan untuk mengelak gangguan kepada siasatan yang dijalankan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di perkarangan Hospital Gerik, di sini, pada Isnin.

Shamsul Anuar juga turut meminta semua pihak agar bersabar dan memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Beliau memberi jaminan siasatan akan mengambil kira dalam semua aspek termasuk pemandu dan jalan.

Terdahulu, media melaporkan seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut manakala tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.

Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tajung Malim, Perak. – MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI