GOPENG – Binaan gerbang konkrit persis Tembok Besar China ‘menyambut’ kedatangan pengunjung untuk mencipta memori terindah di Gaharu Tea Valley.
Terletak kira-kira 40 minit dari bandar raya Ipoh, lokasi ini sesuai untuk mereka yang ingin lari daripada hiruk-pikuk kota dan mencari ketenangan.
Dibuka pada tahun 1992, ladang seluas 121.4 hektar ini menawarkan pemandangan alam semulajadi yang memukau berlatar belakangkan bukit-bukau menghijau dengan deretan pokok gaharu.
Lebih mengujakan apabila ladang ini pernah disenaraikan di dalam Malaysia Book of Records bagi perladangan gaharu yang pertama menghasilkan tanaman mono organik.
Ladang berkonsepkan agro pelancongan yang terletak di Kampung Sungai Itek ini mula dibuka kepada pengunjung sejak 2010.
Tidak lengkap rasanya kunjungan ke ladang itu tanpa merasai sendiri keenakan aiskrim dan teh gaharu seratus peratus organik yang cukup terkenal di sini.
Bagi pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini, mereka boleh mengikuti lawatan ke tiga stesen di sekitar ladang tersebut dengan menaiki van yang disediakan.
Pengurus Operasi Gaharu Tea Valley, Yap Jheng Sheng berkata, tiga stesen itu adalah HOGA (Holistik Gaharu) Hill Top View dan Café, Hugging Park (Taman Memeluk Pokok) dan Lover’s Park (Taman Kekasih).
Menurutnya, untuk stesen pertama di HOGA Hill Top View dan Café, pengunjung boleh melihat pemandangan keseluruhan ladang gaharu dengan ketinggian 120 meter dari aras laut.
“Kemudian, kita akan bawa pengunjung ke stesen kedua, Hugging Park untuk peluk pokok bagi lebih mendekati pokok gaharu.
“Aura pokok ini baik untuk healing penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis dan membantu untuk mengurangkan stress,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Katanya, stesen ketiga adalah Lover’s Park yang menjadi lokasi untuk pengunjung lebih mendekati alam semulajadi di atas trek sepanjang 850 m.
“Di lokasi ini terdapat kolam ikan, lukisan dinding, lukisan tiga dimensi (3D), air terjun dan tarikan utama di sini adalah dua pokok besar iaitu spesis ara dan merbau yang dilihat seolah-olah berpelukan antara satu sama lain.
“Kedua-dua pokok tersebut berusia lebih 100 tahun dan kita tidak tebang serta membiarkan ia di situ serta menamakannya lover’s tree (pokok cinta),” ujarnya.
Ujar beliau, pengunjung yang berminat untuk mengakses ketiga-tiga perhentian ini, mereka akan dikenakan bayaran pengangkutan untuk ke lokasi tersebut.
“Caj yang dikenakan adalah RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak manakala orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak di bawah empat tahun adalah percuma,” jelasnya.
Beliau berkata, selain itu pengunjung boleh singgah ke HOGA Retail atau HOGA Deli dan juga Time Tunnel Gallery untuk melihat sejarah asal usul gaharu.
Gaharu pokok ‘serbaguna’, berkhasiat
Menyentuh soal keistimewaan gaharu di sini, Jheng Sheng berkata pokok itu ditanam secara organik tanpa sebarang penggunaan bahan kimia atau racun dan ia selamat untuk dijadikan sebagai makanan atau minuman.
“Dalam pasaran, gaharu hanya menghasilkan dua produk utama sama ada untuk dijadikan pati minyak atau colok.
“Di sini terdapat pokok hibrid daripada 12 jenis pokok gaharu yang boleh makan ataupun selamat digunakan dan sebab itu jenama kita dipanggil Hoga atau nama penuhnya Holistik Gaharu,” ujarnya.
Katanya, Gaharu Tea Valley turut menawarkan beberapa produk lain berasaskan gaharu antaranya teh, mi segera dan kombucha.
“Teh yang dijual sangat berkhasiat dan membantu dalam mengurangkan empat kategori penyakit iaitu kencing manis, gout, insomnia (tidak boleh tidur) dan angin dalam perut,” katanya.
Jheng Sheng menambah, lokasi ini juga amat sesuai menjadi tempat untuk ahli keluarga mendekatkan diri antara satu sama lain sekali gus menikmati keindahan alam semula jadi yang masih belum tercemar.
“Pengunjung yang datang ke sini diharap dapat menghargai agarwood (gaharu) ini kerana ia hampir pupus. Sebab itu, kita tanam secara besar-besaran dan berharap generasi akan datang dapat melihat pokok gaharu,” jelasnya.
Bakal tambah tarikan baharu sempena TMP 2024
Sempena Tahun Melawat Perak 2024 (TMP 2024), Gaharu Tea Valley turut menyusun perancangan menambah beberapa tarikan baharu bagi menarik pengunjung terutamanya pelancong dari luar negara.
Ujar Jheng Sheng, satu program trekking aktiviti sepanjang tahun akan diperkenalkan bagi pengunjung merasai sendiri pengalaman untuk mendekatkan diri dengan alam dan santuari gaharu di kawasan itu.
“Sepanjang tahun kita akan ada enam trek berbeza mengikut tahap kesukaran tertentu antaranya, ada yang akan masuk hutan dan ada yang akan dapat bersarapan pagi dalam hutan.
“Mungkin kita akan buka tapak perkhemahan dengan membenarkan jumlah kemasukan pelancong yang terhad supaya mereka boleh meluangkan masa di dalam kawasan ladang berkenaan,” katanya.
Gaharu Tea Valley yang beralamat di Lot 9840, Kampung Sungai Itek, 31600 Gopeng, dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang (kecuali Selasa). – MG Perak