GERIK – Seorang pemandu bas persiaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gerik pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kilometer (km) 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli di sini, Isnin lalu.
Tertuduh, Mohd Amirul Fadhil Zulkifli, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan selepas kesemua 15 pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa memandu bas jenis Hino dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian kepada 15 individu.
Individu terbabit adalah, Fakhrul Arif Rosdi, 20; Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian, 21; Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21; Nurul Fatihah Abu Setaman, 22; Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21; Sufea Adela Maslihaizan, 21; dan Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21.
Invidividu lain adalah, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21; Nurly Shahirah Azman, 23; Fatin Nasrien Fadli, 22; Muhammad Mustaqim Rosde, 21; Anis Soffiyya Md Zaidi, 20; Nor Ayuni Maslan, 21; Muhammad Adib Hazim Halim, 21 serta Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di di km 53 JRTB Gerik-Jeli sekitarjam 1.15 pagi, 9 Jun lalu 2025.
Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara antara lima sehingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 sehingga RM50,000, serta hilang kelayakan daripada memegang atau memperoleh lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.
Sementara dalam prosiding sama, Mohd Amirul juga didakwa memandu kenderaan sama secara berbahaya kepada orang awam, di lokasi, jam dan tarikh sama, serta dibacakan di bawah Seksyen 42 APJ 1987.
Menurut pertuduhan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudus serta dua Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan N. M. Moganaraj Mithra, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nasrul Hadi mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan kepada tertuduh, beserta syarat tambahan lelaki itu perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan dan sebarang dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.
Pada masa sama, beliau juga mencadangkan kepada mahkamah agar semua lesen memandu tertuduh digantung serta tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Ketika rayuan, tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan antara RM1,500 hingga RM1,800 di samping menanggung seorang isteri dan tiga anak.
Muhammad Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.
Tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam ditetapkan pada 14 Julai depan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas pelajar UPSI: Pemilik syarikat bas tampil beri keterangan semalam