IPOH – Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) disifatkan sebagai langkah bersasar oleh kerajaan yang tidak membebankan majoriti rakyat, sebaliknya tertumpu kepada golongan berpendapatan tinggi.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Amirudin Tajudin berkata, pelaksanaan SST hanya melibatkan sektor tertentu sahaja dan memberi impak kepada golongan berkenaan.
Menurutnya, peluasan cukai tersebut tidak akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Contohnya, sekolah antarabangsa yang kebanyakannya melibatkan ibu bapa dalam kalangan T20 akan terkesan dengan kenaikan kadar cukai melalui peningkatan yuran dan perkhidmatan berkaitan.
“Ini adalah pendekatan tepat kerajaan kerana cukai tersebut hanya dikenakan kepada pihak yang benar-benar mampu, tanpa melibatkan mereka dari golongan M40 dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-12 DPPM Perak yang dirasmikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun di Hotel Casuarina @ Meru, di sini pada Rabu.
Bermula 1 Julai ini, kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kadar CJ kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat dan kadar CJ sebanyak lima peratus atau 10 peratus dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas.
Skop CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan kena batalkan peluasan SST, jangan terus bebankan rakyat – DHPP