IPOH – Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat pembekal perkhidmatan dan solusi teknologi, Nityo Infotech Services Sdn. Bhd. (Nityo) bagi mentransformasikan aplikasi S.M.A.R.T Niaga@Perak menjadi platform e-dagang yang lengkap.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, melalui usaha itu Nityo akan membimbing 200 usahawan perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) dalam aplikasi berkenaan tanpa melibatkan sebarang kos daripada kerajaan negeri mahupun usahawan berkenaan.
“Penggunaan platform e-dagang ‘Shopmatic’ yang disediakan oleh Nityo bakal melonjakkan usahawan ke tahap yang lebih tinggi.
“Malah ia berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa sejajar dengan agenda Perak Sejahtera 2030 di bawah program Flagship Ekonomi Digital.
“Inisiatif ini mempercepatkan ketersediaan Perak mengadaptasi teknologi yang mendorong pertumbuhan inovasi baharu.
“Selain itu, ia juga membuka ruang untuk agensi kerajaan, pihak swasta dan usahawan dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Digital Perak dengan Nityo di Hotel Casuarina Meru, dekat sini, pada Jumaat.
Ia disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir dengan Country Head Nityo, Rajasekhar Gummadi.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi serta Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Selain itu, Saarani berkata, kerjasama strategik itu akan diperluaskan bagi membantu beribu-ribu PKS melaksanakan transformasi pendigitalan perniagaan mereka.
“200 PKS terawal ini sudah ada aplikasi dan produknya dikenali di peringkat domestik dan antarabangsa sebagai pengenalan kepada pelancong-pelancong.
“Ia juga memberi motivasi kepada usahawan lain. Selain menyediakan produk yang menarik, mereka mesti bersedia untuk bersaing dalam platform e-dagang,” katanya.
Sementara itu, Rajasekhar ketika ditemui berkata MoU berkenaan adalah inisiatif yang julung kali bagi pihaknya dalam menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak.
“Masih ramai peniaga PKS yang masih tidak terlalu mengaplikasikan teknik perniagaan secara atas talian di Perak, dan melalui program ini, kami mahu membantu mereka berjaya dalam kaedah perniagaan digital ini,” ujarnya.
Nityo yang beribu pejabat di New Jersey, Amerika Syarikat dan telah ditubuhkan pada tahun 2006.
Antara perniagaan teras Nityo adalah seperti penyumberluaran aplikasi pengurusan, pakej perkhidmatan aplikasi, pengurusan infrastruktur jauh, pembangunan produk dan sokongan kepada perkhidmatan nilai tambah tinggi seperti kejuruteraan produk serta platform terurus.-MG Perak
Artikel Berkaitan:
Saya berniaga foodtruck dekat dataran Lumut minta pihak tuan dtg pantau dan menambahbaikkan tapak niaga kami tu kerana tapak kami tu tumpuan para pelancong
[…] Digital Perak, Nityo jalin kerjasama tambah baik aplikasi S.M.A.R.T Niaga@Perak […]