Najib dilepas tanpa dibebaskan, pendakwaan gagal bersedia untuk kes sejak 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Timggi di sini hari memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana berunsur aktiviti haram berjumlah RM27 juta.

Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan walaupun selepas enam tahun pertuduhan dikemukakan.

“Kes ini telah tergantung di mahkamah sejak tahun 2019 dan sehingga kini belum satu pun keterangan saksi dikemukakan.

“Apa yang berlaku hanyalah siri penangguhan demi penangguhan yang menunjukkan pihak pendakwaan masih belum bersedia untuk mengendalikan perbicaraan,” katanya dalam penghakimannya.

Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Muniandy menjelaskan bahawa walaupun pertuduhan pengubahan wang haram boleh dikaitkan dengan kesalahan asal (predicate offence) namun pendakwaan memilih untuk memfailkan kes ini secara berasingan, satu tindakan yang sah dari segi undang-undang memandangkan kesalahan itu boleh berdiri sendiri.

Namun kata beliau, berlaku beberapa siri penangguhan dengan hanya satu tarikh bicara ditangguhkan atas permintaan pihak pembelaan manakala selebihnya adalah atas permintaan pendakwaan.

“Meskipun mahkamah telah dimaklumkan bahawa beberapa dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan, pihak pendakwaan kini menyatakan bahawa mereka masih belum mengumpul semua bukti dokumentari yang diperlukan mungkin melibatkan sehingga 807 bahan bukti,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, pihak pendakwaan telah diberi tempoh panjang untuk membuat persiapan namun masih tiada jaminan bahawa perbicaraan boleh dijalankan dalam masa terdekat.

“Sebarang penangguhan lanjut adalah tidak dapat dielakkan dan keadaan ini menjadikan proses perbicaraan menjadi tidak tentu masa. Ini adalah bertentangan dengan prinsip keadilan jenayah yang mana seseorang tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Seseorang yang telah didakwa tidak seharusnya digantung dengan pertuduhan untuk tempoh yang tidak tentu dan peruntukan undang-undang memberi hak kepada tertuduh untuk mendapat proses keadilan yang sewajarnya,” katanya.

Tambah beliau, kuasa untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) harus digunakan secara berhati-hati dan hanya apabila terdapat alasan kukuh yang menunjukkan kepentingan awam menuntut sedemikian.

“Tiada apa-apa dalam kes ini yang menunjukkan pendakwaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan dalam masa terdekat.

“Mengambil kira semua faktor termasuklah sejarah panjang penangguhan, ketidakmampuan pihak pendakwaan untuk mengemukakan bukti dan tempoh masa yang tidak menentu bagi memulakan perbicaraan, mahkamah putuskan untuk melepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya lagi.

Najib berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI