PARIT – Kerajaan Negeri Perak sedang menyelaras pelantikan ketua kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang baharu melalui kerjasama pejabat-pejabat daerah dan ketua parti.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, sebanyak 80 peratus JPKK atau ketua kampung telah dipilih manakala bakinya dalam proses penilaian.
“Setakat ini 80 peratus telah diproses dan diperakui serta dipersetujui Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Kita akan buat penyampaian watikah pelantikan kepada 80 peratus yang dipersetujui pada 30 Jun ini di Lenggong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Jelajah Sejahtera Desaku @DUN Bota Tahun 2025 di Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, baki 20 peratus JPKK yang belum dimuktamadkan itu masih dalam proses tapisan di mana Kerajaan Negeri masih menerima cadangan-cadangan untuk mengisi jawatan tersebut,
Mohd Zolkafly berkata, pelantikan berkenaan juga menyaksikan muka baharu terdiri daripada golongan muda dan wanita selain mengekalkan ketua kampung sedia ada.
“Ada pelantikan baharu dan ada kekal yang lama. Ada juga pelantikan orang muda serta perempuan seperti di Kampar dan Pulau Pangkor.
“Saya berharap agar mereka yang dilantik ini dapat memikul tanggungjawab dan amanah dengan penuh keihklasan, kejujuran demi kepentingan komuniti,” katanya.
Mei lalu MG Perak melaporkan Kerajaan Negeri sedang menjalankan penilaian prestasi ke atas 829 Pengerusi JPKK atau ketua kampung yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Mei.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penilaian yang dilakukan oleh pegawai daerah masing-masing itu bertujuan untuk menentukan sama ada ketua kampung sedia ada akan disambung perkhidmatan atau digantikan dengan pelantikan baharu. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak nilai prestasi 829 ketua kampung, pelantikan baharu 1 Jun