GOPENG – Data Banci Pertanian 2024 menunjukkan sektor pertanian di Perak masih bergantung kepada golongan warga emas.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Laporan Interim Banci Pertanian 2024 bagi Negeri Perak melaporkan hanya 24,555 orang iaitu 23.4 peratus golongan belia berumur 15 hingga 45 tahun menyahut cabaran menceburi bidang ini.
“Jurang penyertaan antara generasi tua dan muda ini bukan sahaja membimbangkan, malah membayangkan masa depan yang rapuh sekiranya tiada usaha drastik dilakukan.
“Kekurangan tenaga kerja muda, kesukaran dalam menerima dan mengadaptasi teknologi moden, serta persepsi terhadap kerjaya dalam sektor ini menjadi penghalang utama,” katanya.
Rentetan itu, DOSM berkata, usaha untuk meremajakan sektor pertanian di Perak amat diperlukan demi kelangsungan dan daya saing industri ini dalam jangka panjang.
Ujarnya, masa depan sektor pertanian bergantung kepada sejauh mana kita berjaya menarik kembali minat generasi muda untuk kembali ke ladang dan sawah, bukan sekadar sebagai pekerja, tetapi sebagai peneraju transformasi agroindustri negara.
Dalam laporan sama, DOSM menyatakan Banci Pertanian 2024 merekodkan 107,474 pegangan pertanian di Perak pada 2023, dengan 97.6 peratus (104,878 pegangan) dimiliki individu manakala 2.4 peratus (2,596 pegangan) dimiliki pertubuhan.
Katanya, hampir kesemua individu (99.9 peratus) yang terlibat dalam aktiviti pertanian merupakan warganegara, dan 76.3 peratus daripadanya adalah lelaki.
“Dari segi umur, 46.6 peratus daripada pegangan individu dimiliki oleh mereka yang berumur 60 tahun ke atas, diikuti 30 peratus oleh golongan umur 46 hingga 59 tahun.
“Mengikut etnik, Bumiputera menyumbang 77.6 peratus daripada pegangan individu manakala 39.6 peratus daripada pemilik pegangan individu di Perak mempunyai sijil tertinggi peringkat menengah,” katanya.
Laporan Interim Banci Pertanian 2024 bagi Negeri Perak secara rasmi dibentangkan pada hari ini dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Bougainville, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: KPKM Gandakan Usaha Tarik Belia Sertai Sektor Pertanian