TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mematahkan cubaan menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) selepas menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan di Kampung Matang Kamunting, Trong, dekat sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan itu dijalankan penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping menerusi Ops Gasak sekitar jam 10.30 pagi.
Menurutnya, kediaman tersebut dihuni sepasang suami isteri warga tempatan berusia 54 dan 44 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas premis berkenaan menemukan sejumlah 42 tong LPG terdiri daripada 26 tong seberat 14 kilogram (kg), 14 tong (12kg) dan dua tong kosong (14kg) yang disimpan di bahagian hadapan rumah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pasangan suami isteri terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan ketika diminta oleh pihak berkuasa.
“Susulan itu, semua 42 tong LPG berkenaan telah disita dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM4,370.80,“ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: